Harimau Malaya dijangka lebih mengaum di peringkat antarabangsa terima kasih kepada pengumuman dana sebanyak RM15 juta dalam Belanjawan 2025.
Pengumuman ini dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan belanjawan di Dewan Rakyat.
Dana ini bukan saja akan digunakan untuk memperkasa kemajuan skuad senior negara. Malah, dana RM15 juta ini juga akan digunakan untuk menambah baik skuad pelapis dan pembangunan akar umbi termasuk skuad Malaysia Bawah 18 Tahun (B-18) dan Bawah 13 Tahun (B-13).
“Bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak, RM15 juta disediakan kepada pasukan Harimau Malaya, pasukan bawah 18 dan bawah 13 dengan kerjasama FAM bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain,” katanya.
Berita ini bakal mengangkat kembali semangat Harimau Malaya selepas tewas 4-0 kepada New Zealand dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 14 Oktober lalu.
Berdasarkan kedudukan semasa ranking FIFA, Malaysia kini di tangga ke-132 dengan mengumpul 1117.64 mata.
Skuad negara kini fokus untuk aksi persahabatan antarabangsa seterusnya pada November ini. Antara lawan yang bakal dihadapi Malaysia dalam bulan tersebut ialah India.
Ini sebagai persiapan sebelum menghadapi saingan ASEAN Championship 2024 yang bakal membuka tirainya pada 8 Disember ini.