Kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam kini sudah mencapai 45% sekaligus membuka jalan kepada pembinaan stadium baru iaitu Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
Sebelum ini, kerja-kerja perobohan sudah mula digerakkan termasuk perobohan bumbung stadium tersebut pada September lalu.
Kini, KSSA memaklumkan proses perobohan stadium sudah mencapai 45%. Dan sekiranya proses perobohan berjalan seperti yang dirancang, pembinaan asas KSSA bakal mula dilaksanakan.
“Kami dengan penuh sukacita memaklumkan pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sedang berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Fasa awal pembinaan yang melibatkan kerja-kerja perobohan sudah mencapai tahap 45%, dan tidak lama lagi, asas untuk kemudahan moden kami akan mula terbina.
“Stadium baharu ini bukan sahaja menawarkan pengalaman baharu bagi para peminat bola sepak tempatan, tetapi juga menyediakan ruang yang meriah untuk acara sepanjang tahun bagi komuniti setempat,” kata pengurusan KSSA dalam satu kenyataan.
KSSA turut memaklumkan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kontraktor yang dilantik bagi mengurangkan gangguan kepada kawasan persekitaran apabila proses pembinaan bermula.
“Kami memahami bahawa kerja pembinaan boleh mengganggu dan kami amat menghargai kesabaran para jiran kami.
“Untuk mengurangkan kesan gangguan, kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan kontraktor bagi memastikan bunyi bising dan debu pada kadar terkawal,” ujarnya.
KSSA bakal dibina mengikut tiga fasa di mana fasa pertama membabitkan perobohan stadium lama dan pembinaan stadium baru. Fasa ini dijangka siap pada tahun 2026.
Fasa kedua pula membabitkan pembinaan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi. Sementara fasa terakhir pula membabitkan pembinaan hotel dan terminal bas bersepadu.
KSSA juga bakal dihubungkan dengan sistem keretapi aliran ringan (LRT). Ini kerana stesen LRT bagi Laluan Shah Alam (LRT3) telah dibina berhampiran kawasan Stadium Shah Alam dan bakal beroperasi pada 2025.