Walaupun berhadapan dengan isu tunggakan gaji, namun pemain Melaka United pasti akan merasa sedikit terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh kumpulan penyokong yang dikenali sebagai Ultras Taming Sari (UTS).
Melaka United bakal bertandang ke Stadium Negeri Sarawak bagi aksi terakhir mereka tahun ini dengan menentang Sarawak United.
UTS dalam satu muatnaik di laman Facebook rasmi mereka, satu foto yang memaparkan bahagian tingkap kapal terbang berserta logo UTS. Ini menandakan bahawa kumpulan UTS telah terbang ke Sarawak untuk memberikan sokongan buat para pemain Melaka.
“Tak pernah terdetik nak biarkan mereka berjuang sendirian. Kuantiti tidak bermakna jika tiada kualiti. Kami datang, Melaka. Kami datang!,” luah UTS di Facebook mereka.
Pengorbanan yang dilakukan oleh UTS adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memberi semangat kepada para pemain Melaka walaupun tiga perlawanan terakhir yang mereka hadapi sebelum ini berakhir dengan kekalahan.
Melaka United kini berada di tangga ke-10 Liga Super dengan mengumpul 18 mata. Kedudukan ke-10 itu akan kekal menjadi milik Melaka United walau apa jua keputusan yang diraih malam ini.