Pemain sayap sensasi skuad kebangsaan, Faisal Halim menyatakan bahawa tidak kira pemain itu daripada kelab mana yang penting negara adalah fokus nombor satu pemain itu.
Pemain utama Terengganu itu mengakui pemain daripada Selangor yang mewakili Harimai Malaya semuanya berkualiti dan menunjukkan prestasi yang baik dalam aksi persahabatan baru-baru ini.
Faisal menjelaskan setiap pemain telah bekerja keras dan membuktikan kemampuan kepada jurulatih Kim Pan-gon yang mereka layak untuk berada daam pasukan Harimau Malaya.
“Pemain Selangor yang ada dalam skuad ini semuanya berkualiti, saya hanya tiga orang daripada Terengganu termasuk penjaga gol, tak kisah siapa dalam skuad Malaysia kita ketepikan kelab, negara nombor satu” jelasnya.
“Semua pemain bekerja keras mereka telah membuktikan mereka layak berada dalam pasukan kebangsaan ini, itu saya puji rakan-rakan saya mereka ambil ini sebagai satu cabaran untuk memajukan karier masing-masing,” katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam aksi persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Maldives tempoh hari, Faisal telah menjadi watak penting buat skuad kendalian Kim Pan-gon. Beliau berjaya menjaringkan satu gol sekaligus membantu Malaysia membenam Maldives dengan keputusan 3-0.
Pada aksi pertama Malaysia dijadualkan akan bertandang ke Yangon untuk bertemu Myanmar pada 21 Disember ini dalam kempen Piala AFF 2022. Malaysia telah diletakkan dalam kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura.