Jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Nanthakumar mengakui ketiadaan tiga tonggak menjejaskan usaha pasukan itu menghadapi cabaran Penang FC.
Aksi liga yang berlangsung pada 5 April lalu menyaksikan Sang Rusa turun tanpa kelibat A. Selvan, Hein Htet Aung dan Zainal Abidin Jamil.
Selvan terpaksa disisihkan selepas mengalami kecederaan dalam aksi menentang PDRM FC pada 15 Mac lalu. Zainal Abidin pula perlu menjalani penggantungan perlawanan.
Htet Aung pula tidak dapat kembali ke Malaysia susulan masalah dokumentasi. Gempa bumi yang melanda Myanmar pada akhir Mac lalu melewatkan urusan dokumentasi beliau.
Nanthakumar melihat ketiadaan tiga tonggak tersebut menyukarkan Negeri Sembilan memberi saingan kepada Penang.
“Saya tak nafikan pada separuh masa pertama, ada pemain yang tidak memberikan 100% komitmen tetapi di separuh masa kedua, mereka bangkit,” katanya.
“Banyak peluang dicipta di separuh masa kedua namun gagal disempurnakan dan sepakan penalti yang diberikan kepada Penang FC sedikit sebanyak memberi kesan kepada moral pemain saya.
“Tambahan lagi, ketiadaan tonggak utama seperti A. Selvan, Hein Htet Aung dan Zainal Abidin juga mempengaruhi corak permainan kita malam ini.”
Ketiadaan tiga tonggak Negeri Sembilan ini membantu Penang meraih kemenangan 2-0 di Paroi. Rahmat Makasuf dan kapten, Rafael Vitor mencetak nama sebagai penjaring.
Sang Rusa perlu bangkit menjelang dua aksi terakhir liga. Mereka akan menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Kota Bharu pada 13 April.
Ini disusuli aksi menentang Kuching City FC di Paroi pada 20 April.