Ketiadaan kelibat pemain sayap berbakat Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman di kem latihan skuad Harimau Malaya telah mencetuskan tanda tanya.
Ketika ini, skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski sedang giat melakukan persiapan dan menjalani kem latihan di Johor Bharu menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027.
Kem latihan yang bermula pada Isnin dilihat berjalan dengan lancar dan baik apabila kelihatan rata-rata pemain berusaha menyesuaikan diri dengan gaya permainan yang dibawa oleh Cklamvoski.
Apa yang menarik perhatian adalah keberadaan pembantu jurulatih JDT, Aidil Zafuan dan penjaga gol muda berbakat, Christian Abad yang dikesan menyertai latihan sejak hari pertama.
Walau bagaimanapun, sepanjang 2 hari kem berlangsung, tidak kelihatan kelibat Arif Aiman di sesi latihan tatkala masa semakin suntuk buat pasukan negara sebelum turun dalam aksi pertama.
Hasil tinjauan di hantaran Facebook Malaysia National Team, kesemua pemain dilihat menjalani latihan di bawah kendalian Cklamovski tanpa sosok Arif Aiman sekaligus menimbulkan tanda tanya.
Malah, segelintir peminat mula membuat spekulasi bahawa ketiadaan Arif Aiman ini gara-gara kecederaan yang dialami ketika turun dalam aksi Liga Super berdepan Penang pada Ahad lalu.
”Aduh Arif Aiman cedera pula ketika perlawanan Malaysia ini,” andai salah seorang pengguna media sosial, Dominiq Toretto.
”Arif Aiman pergi mana ya?” soal Luqman Hakim Ismail di laman Facebook.
”Risau pula apabila muat naik gambar tiada Arif ini sebab tempoh hari macam cedera sedikit. Harap-harap Arif baik-baik sahaja,” tulis Izz Zihni, penyokong Harimau Malaya.
Selain Arif Aiman, ketiadaan pemain tengah berpengalaman, Natxo Insa turut menjadi persoalan dalam kalangan peminat Harimau Malaya setelah mempamer persembahan hebat di JDT.
Sehingga kini, tiada sebarang kemas kini atau pengumuman oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai status kedua-dua tonggak JDT ini bersama Harimau Malaya.