Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak percaya pasukan itu dapat meneruskan cabaran liga meskipun tanpa khidmat Tchetche Kipre dan James Okwuosa.
The Cats terpaksa membayar harga mahal kemenangan 3-1 ke atas KL City FC pada 26 Oktober lalu. Ini selepas Kipre dan Okwuosa dilayangkan kad merah oleh pengadil, Muhammad Usaid Jamal.
Situasi ini menyebabkan dua tonggak import itu perlu menjalani penggantungan perlawanan terlebih dahulu sebelum kembali beraksi.
Meskipun mengakui ketiadaan Kipre dan Okwuosa menjejaskan perancangan The Cats, Aidil percaya barisan pemain sedia ada mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan duo berkenaan.
“Memang kita akui dua pemain ini cukup penting kerana kalau anda lihat perlawanan terakhir (aksi menentang KL City), itu kali pertama kita ada kesebelasan terbaik.
“Itu sebab kita dapat keputusan yang bagus. Cara kita bermain menentang KL (City) walaupun tanpa dua pemain ya, kita masih boleh kekalkan (rentak permainan), disiplin yang bagus dan tenang bila bertahan.
“Sudah tentu kita merindui dua pemain ini. Tetapi saya cabar pemain-pemain yang mendapat peluang untuk bermain, harapnya mereka tampil dan menyinar (di atas padang). Dan ini peluang mereka merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya kepada Nadi Bola.
Aidil dijangka menurunkan bekas bek tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rodney Celvin untuk bergandingan dengan Yuki Tanigawa. Sementara slot Kipre bakal diisi sama ada Jordan Mintah atau Pedro Henrique.
Kuching City berharap dapat meraih mata bila berdepan Sri Pahang FC di Temerloh pada 2 November. Sri Pahang juga tempang tanpa Kpah Sherman kerana perlu menjalani penggantungan perlawanan.