Persaingan antara dua pemain ternama Liga Super, Fernando Forestieri dan juga Ayron Del Valle semakin memuncak menuju penghujung saingan Liga Super 2023.
Penyerang JDT itu merupakan antara tunjang utama di bawah kendalian Tano Solari yang menyaksikan mereka gah memimpin saingan Liga Super selepas 18 perlawanan tanpa tewas.
Pemain berusia 32 tahun itu memainkan peranan yang cukup penting bersama Harimau Selatan musim ini namun terpaksa diketepikan setelah mengalami kecederaan ketika aksi final Piala FA tempoh hari.
Hal ini mengakibatkan khidmat bekas pemain Udinese ni terpaksa disisihkan dalam tempoh yang tidak diketahui.
Perkara ini dilihat menjadi kelebihan kepada pesaing terdekatnya, Ayron Del Valle untuk terus menapak bagi memburu kasut emas Liga Super.
Bekas penjaring terbanyak Liga Colombia itu kini berada pada kemuncak prestasi di bawah kendalian Tan Cheng Hoe apabila sudah meledak 15 gol dalam 18 perlawanan.
Beliau juga hanya dipisahkan dengan dua gol dengan Forestieri kini sudah menjaringkan 17 gol.
JDT bagaimanapun kini memiliki gandingan baharu iaitu Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes yang mula disatukan ketika berdepan Selangor tempoh hari dengan kedua-duanya menjaringkan gol.
JDT bakal berdepan Kelantan dalam aksi Piala Malaysia manakala Selangor akan bertembung dengan PDRM bagi memburu slot ke peringkat berikutnya.