Biarpun namanya sudah disenaraikan dalam senarai 26 pemain ke Piala Asia 2023 Qatar, kelibat Natxo Insa masih tidak kelihatan dalam perlawanan sebenar.
Kerisauan itu ditimbulkan oleh pemerhati bebas bola sepak Malaysia, Piang Shankly dalam satu hantaran di laman X miliknya.
“Jadi Jalil Elias tak lepas dgn Dion Cools & kawan-kawan malam tadi? Tapi aku lagi risaukan Natxo. Tak nampak gambar dia malam tadi & so far tak nampak gambar dia main ketika 2 sides training. Masih tak fully fit?,” tulis Piang Shankly di laman X.
Hasil tinjauan di ruangan komen, para penyokong turut meluahkan kerisauan apabila ada di antara mereka terlihat foto Natxo hanya menjalani latihan ringan dengan menggunakan kasut sukan dan bukannya kasut bola.
Untuk rekod, kali terakhir Natxo menyarung jersi Harimau Malaya adalah pada Mac 2018 dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Mongolia.
Pada ketika itu, skuad kebangsaan dilatih oleh pengendali dari Portugal, Nelo Vingada. Natxo beraksi penuh pada aksi tersebut dan perlawanan tamat dengan kedudukan terikat 2-2.
Selepas itu, kelibat Natxo hanya kelihatan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan sering kali diletakkan di dalam kesebelasan utama untuk beberapa musim.
Untuk saingan Piala Asia, Malaysia diletakkan di kumpulan E bersama-sama tiga lagi pasukan gergasi Asia iaitu Korea Selatan, Bahrain dan Jordan. Jordan akan menjadi lawan pertama Harimau Malaya pada 16 Januari.
Manakala di perlawanan kedua, Malaysia bakal bertemu Bahrain pada 20 Januari sebelum menutup aksi kumpulan dengan perlawanan menentang Korea Selatan pada 25 Januari.