Blog
Photo: Getty Images
Advertisements

Kebanyakan kelab gemar mendapatkan pemain secara pinjaman sebagai penyelesaian jangka masa pendek atau sebagai pilihan alternatif. Kebiasaannya kelab akan meminjam pemain apabila pemain utama mereka mengalami kecederaan atau sekadar menambah baik squad depth mereka.

Contohnya, Manchester United pernah meminjam Odion Ighalo selama 6 bulan setelah Marcus Rashford mengalami kecederaan. Selain itu, Barcelona turut meminjam Luuk De jong bagi memberi lebih banyak pilihan di bahagian serangan bersama Aguero, Depay, Dembele, Ansu Fati dan Braithwaite.

Namun kelab di Itali tidak memandang kaedah pinjaman pemain sekadar penyelesaian jangka masa pendek malah mereka menggunakan kaedah ini dalam urusan jual beli pemain agar kewangan kelab dapat dikawal.

Advertisements
locatelli italy Keunikan Kelab Itali Mengeksploitasi Konsep Pinjaman Pemain
Manuel Locatelli menyertai Juventus daripada Sassuolo

Kelab-kelab di Itali menandatangani pemain dengan membawa masuk pemain secara pinjaman terlebih dahulu sebelum mengaktifkan klausa berpindah secara tetap. Sesetengah peminat bola sepak mungkin beranggapan bahawa kelab yang meminjam pemain hanya ingin mendapatkan pemain buat sementara dan meletakkan klausa tersebut sebagai bonus jika pemain menunjukkan prestasi yang bagus sewaktu dipinjamkan (mengaktifkan klausa apabila perlu).

Namun sebenarnya itulah gaya perpindahan pemain di Itali. Sebenarnya kelab di Itali menggunakan kaedah pinjaman serta klausa pembelian (obligation to buy atau option to buy) berbanding membeli terus pemain tersebut walaupun pemain yang dibawa masuk adalah pemain yang berpindah secara kekal atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

Aksi Romero sewaktu menyarung jersi Atalanta

Contohnya, pihak media melaporkan Cristian Romero telah menyertai Tottenham Hotspurs daripada Atalanta dengan harga €50 juta selama 6 tahun. Namun Atalanta telah mengumumkan Romero menyertai Spurs secara pinjaman. Ini menyebabkan berlaku percanggahan maklumat mengenai perpindahan Romero.

Advertisements

Kemudian sebuah penjelasan diberikan dimana Romero menyertai Spurs secara pinjaman selama setahun disertai klausa pilihan berpindah secara tetap pada harga €50 juta. Sebenarnya Romero sudah sah menjadi pemain tetap Spurs secara tetap (Spurs bakal mengaktifkan klausa perpindahan) namun Spurs tidak ingin membayar jumlah €50 juta dalam satu bayaran.

Pengarah sukan Spurs, Fabio Paratici menggunakan kaedah pinjaman serta klausa pembelian bagi mengunci harga pasaran Romero. Nilai pasaran Romero sekarang adalah €35 juta dan dijangka akan meningkat sehingga €60 juta pada masa akan datang. Oleh itu, Paratici mengunci harga tersebut buat €55 juta (termasuk bayaran bonus) walapun harga pasaran Romero akan terus meningkat selepas ini.

Ini bermaksud Tottenham tidak perlu membayar harga yang lebih tinggi buat Romero dan membenarkan kelab menyediakan dana yang secukupnya selain memastikan aliran kewangan stabil (€50 juta dalam satu bayaran bakal menjejaskan aliran kewangan kelab). Malah pandemik Covid-19 menyebabkan Paratici perlu lebih teliti dalam mengemukakan bidaan.

Advertisements

Paratici merupakan bekas pengarah sukan Juventus sebelum beliau menyertai Spurs pada musim ini sebagai pengarah sukan baharu. Oleh itu, tidak hairan apabila Paratici menggunakan trik pembelian pemain yang terkenal di Serie A ini.

Prestasi Nicolo Barella meningkat semenjak menyertai Inter Milan

Selain itu, Inter Milan turut membawa masuk Nicolo Barella dengan kaedah yang sama. Barella hadir secara pinjaman selama semusim (€12 juta yuran pinjaman) disertai klausa kewajipan membeli pada akhir musim (€32.5 juta).

Pada akhir musim pinjaman, nilai pasaran Barella meningkat kepada €50 juta. Inter berjaya mendapatkan pemain ini dengan harga yang lebih rendah (€44.5 juta) berbanding harga pasaran semasa Barella. Bayangkan jika Inter Milan membeli Barella secara terus, sudah pasti Inter perlu membayar pada harga yang tinggi dalam satu bayaran sekali gus bakal menjejaskan kewangan Inter.

Advertisements
AC Milan telah mengaktifkan klausa pembelian tetap terhadap Sandro Tonali

Sandro Tonali juga pada awalnya menyertai AC Milan secara pinjaman disertai klausa berpindah secara tetap (€6.9 juta). Juventus turut mendapatkan pemain sayap Itali, Federico Chiesa secara pinjaman (yuran €10 juta) selama 2 musim dan mempunyai klausa berpindah secara tetap (€60 juta yuran keseluruhan). Kini, AC Milan telah mengaktifkan klausa Tonali manakala Juventus pula hanya menunggu masa untuk mengaktifkan klausa Chiesa.

Malah pada musim ini, Manuel Locatelli menyertai juventus secara pinjaman disertai klausa kewajipan membeli pada harga €23 juta. Merih Demiral juga menyertai Atalanta secara pinjaman (€3 juta yuran pinjaman) dan mempunyai klausa pembelian secara tetap (€28 juta).

Ini adalah kaedah unik kelab Itali dalam membeli pemain dengan berselindung disebalik perpindahan secara pinjaman malah kelab besar seperti Juventus, AC Milan dan Inter Milan turut menggunakan cara tersebut. Kaedah meminjam dan kemudian mengaktifkan klausa pembelian tetap pemain memberi kelebihan kepada kelab agar mengunci harga pemain tersebut pada nilai pasaran yang rendah.

Federico Chiesa hadir secara pinjaman selama 2 musim disertai klausa opsyen pembelian tetap

Oleh sebab itu terdapat sesetengah kelab meletakkan klausa pilihan untuk membeli pemain berbanding klausa wajib membeli kerana jika nilai pasaran pemain jatuh merudum, kelab peminjam bakal rugi. Namun jarang prestasi pemain merudum kerana kebanyakan pemain yang dibawa masuk adalah pemain yang sudah dipantau dan mempunyai potensi yang besar.

Kaedah pinjaman serta klausa perpindahan juga memberikan kelebihan kerana kelab boleh memastikan prestasi dan corak permainan pemain bersesuaian dengan kelab sebelum mengaktifkan klausa tersebut.

Malah pembayaran pada akhir musim memberi lebih banyak masa untuk kelab menyediakan dana yang secukupnya selain memastikan aliran kewangan kelab terjaga. Ini kerana pendapatan kelab di Serie A adalah rendah jika dibandingkan dengan Premier League. Contohnya, hak penyiaran perlawanan Serie A lebih rendah berbanding Premier League. Malah populariti Serie A juga tidak sehebat Premier League menyebabkan keuntungan bisnes jualan menerusi ‘merchandise’ tidak setinggi keuntungan Premier League.

Ditambah pula dengan pandemik Covid-19, kelab di Serie A perlu lebih teliti dalam mengawal aspek kewangan bagi mengelakkan perbelanjaan tidak seimbang dan hutang yang terlalu tinggi. Trik unik kelab di Itali dalam berurusan jual beli pemain ini adalah satu kaedah yang bijak dalam memastikan kestabilan kewangan kelab.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram