Legenda MMA dunia, Khabib Nurmagomedov dikesan menyarung baju yang memaparkan logo Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini berdasarkan satu perkongsian video yang dibuat jaguh Russia itu di Instagram Story baru-baru ini.
Khabib dilihat berkumpul bersama jaguh-jaguh MMA lain selepas selesai menjalani latihan. Turut bersama beliau ialah jurulatih legenda MMA, Javier Mendez.
Video tersebut jelas menunjukkan logo kelab JDT pada baju yang dipakai Khabib sebelum fokus kamera dialihkan kepada Mendez.
Ini menunjukkan jaguh berusia 37 tahun itu sentiasa mengingati JDT dan negeri Johor meskipun kini berada di Russia.
Khabib bukan asing dengan Johor kerana beliau merupakan Ikon Sukan Johor. Beliau juga telah mengadakan lawatan ke negeri itu pada Oktober 2025 untuk majlis pecah tanah Khabib Gym Johor.
Pembukaan gimnasium tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Khabib membantu Johor melahirkan generasi muda yang baik, sihat dan berpendidikan.
Selain itu, beliau juga berkesempatan mengadakan lawatan ke JDT. Khabib diberi peluang melihat pelbagai kemudahan yang dimiliki Harimau Selatan termasuk Stadium Sultan Ibrahim (SSI).