Legenda seni mempertahankan diri campuran (MMA) Russia, Khabib Nurmagomedov mencuri perhatian warga maya Malaysia dengan pengetahuan tentang sejarah negara.
Ini selepas legenda Ultimate Fighting Championship (UFC) berusia 36 tahun itu ditanya tahun bila Kuala Lumpur dibina dalam program Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia 2024.
Khabib secara bersahaja memberi jawapan 1957. Jawapan tersebut mengagumkan hadirin program yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Khabib turut memaklumkan meskipun sibuk berlatih di atas gelanggang, beliau tetap berusaha untuk menuntut ilmu. “Saya tidak hanya berlatih, saya pun belajar juga,” katanya kepada moderator, Alif Satar.
Khabib melihat ilmu sebagai kunci dan sebahagian besar daripada tuntutan agama Islam. Atas sebab itu, juara dunia dua kali dalam acara sambo itu melihat ilmu mampu membantu manusia bila berdepan kesukaran.
“Pengetahuan itu kunci dan sebahagian besar daripada agama Islam. Jika anda tidak mempunyai pemahaman tentang cara dan sebab sesuatu perkara itu berlaku, anda tidak akan bersedia menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
“Pengetahuan membantu kita mengendalikan perkara-perkara sukar dalam hidup. Kita perlu mendidik diri kita dengan pengetahuan agama dan mengajarkannya kepada keluarga kita.
“Kita perlu berkongsi apa yang kita tahu dengan orang lain agar mereka boleh mendapat manfaat daripadanya,” ujarnya.
Program Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia 2024 anjuran Faith Events turut menyaksikan kehadiran jaguh muda Muay Thai negara, Johan Ghazali sebagai panel undangan.
Johan segar daripada kejayaan menewaskan jaguh Mexico, Josue Cruz dalam aksi ONE 168: Denver beberapa minggu lalu.