Bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin memberi nasihat bernas kepada Hannah Yeoh.
Beliau berkongsikan perkara ini dalam sesi audio siar Keluar Sekejap mengenai post-moterm Olimpik 2024 di Paris baru-baru ini.
Umum mengetahui bahawa Malaysia hanya membawa pulang dua pingat gangsa menerusi acara badminton menerima reaksi pelbagai daripada rakyat Malaysia.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Hannah mahu meletakkan individu yang berkelayakan untuk menjawat jawatan yang tepat sementara beliau masih memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan.
“Salah satu perkara utama yang saya mahu lakukan sebelum saya menamatkan penggal saya sebagai Menteri Belia dan Sukan ialah meletakkan orang yang betul di jawatan yang betul.
“Bagi mereka yang dipilih oleh ahli badan sukan melalui proses pemilihan sendiri, saya tidak mempunyai kuasa untuk menukar atau menggugurkan mereka. la dilakukan melalui proses demokratik dan kita harus menghormati proses tersebut. Saya hanya boleh menukar atau menggugurkan mereka yang saya lantik,” katanya.
Perkara ini meraih respon individu yang mesra disapa KJ yang mahu melihat karakter lebih berani ditampilkan oleh Menteri Belia dan Sukan semasa.
“Menjadi Menteri Belia dan Sukan mestilah seorang yang proaktif dan bukan seorang menteri yang taichi.
“Kalau menteri yang taichi, dia kata ini bukan saya lantik dan ini bukan saya pilih. Majlis Olimpik Malaysia dipilih melalui undian persatuan sukan.
Beliau juga menganggap Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) perlu lebih berani untuk berdepan dengan kuasa besar dalam dunia sukan Malaysia.
“Kalau Menteri Belia dan Sukan menjadi makhluk yang kerdil dari segi kewujudan dia dan tidak berani untuk berdepan makhluk lebih besar dalam persatuan sukan ini, orang akan pijak kamu,”jelasnya.