Advertisement
Khalid Ali Mahu Semua Pasukan Contohi JDT
Dunia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Lagenda bola sepak kebangsaan, Khalid Ali menyarankan agar semua kelab yang beraksi di Liga Malaysia mencontohi pasukan gergasi dari selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Khalid berpandangan dua aspek penting iaitu kebijaksanaan badan pengurusan serta sistem latihan yang tepat perlulah dilaksanakan oleh semua pasukan.  

“Saya sarankan semua kelab-kelab di Liga M ini contohilah macam JDT. Pergilah ikut ‘blue print’ yang digunakan JDT untuk tingkatkan pengurusan dan sistem latihan.”

Bekas pemain tengah Harimau Malaya ini meragui prestasi semasa pasukan-pasukan lain. Menurutnya, tidak mustahil 3 pasukan lain yang layak ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) kelak akan menjadi pasukan belasahan pasukan gergasi dari Jepun dan Korea. 

“Kita tidak mahu kelebihan slot yang diberikan nanti menjadi lubuk dibelasah kelab-kelab kuat dari Jepun atau Korea Selatan, malu pulak kita nanti.”

Tambah Khalid, setiap pasukan tidak boleh terlalu selesa dengan prestasi sekarang. Mereka perlu ubah beberapa perkara untuk memastikan kelab lebih stabil dan layak beraksi di peringkat tertinggi Asia.

“Jadi kalau berhasrat nak main seperti JDT di ACL, kena ubah dari sekarang dan janganlah mendabik dada selesa dengan apa yang ada sekarang ini,” kata Khalid Ali kepada Arena Metro.