Khalid Ali: Selangor Sepatutnya Main ACL
MakanBola
Azmaidi Abidin

Bekas pemain tengah kebangsaan, Abd Khalid Mohd Ali menganggap pasukan Selangor sepatutnya beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL). 

Lagenda berusia 65 tahun itu berpandangan pasukan gergasi Lembah Klang itu sememangnya layak untuk beraksi di pentas Asia. Bagaimanapun Khalid menjelaskan pasukan Selangor ketika ini haruslah dipimpin badan pengurusan yang benar-benar memahami bola sepak moden.

“Jika diletakkan orang yang tepat di setiap posisi dalam pasukan Selangor, ditambah pengurusan yang betul-betul memahami bola sepak moden, saya percaya slot ke ACL boleh jadi milik Selangor.”

“Pasukan lain pun bagus seperti Terengganu FC, tapi saya lihat Selangor lebih berkemampuan jika pasukannya itu distruktur semula dan letak orang-orang yang tepat,” katanya seperti yang dipetik daripada Arena Metro.

Khalid dalam pada itu sekali lagi menegaskan, slot ACL perlu secara automatik diberikan kepada pasukan JDT dan Selangor. Menurutnya, dua kelab gergasi ini sememangnya mampu bermain di pentas tertinggi Asia. 

“Macam saya kata tadi, JDT dan Selangor perlu layak terus main. Buat dua lagi pasukan (pusingan kelayakan ACL) mungkin Terengganu dan satu lagi rebutan buat kelab-kelab lain,” ujarnya.

Malaysia bakal menerima empat slot ke pentas ACL iaitu 2 slot automatik dan juga 2 slot “play-off” pada saingan ACL musim 2024-2025.. Pemerolehan 4 slot ini rentetan daripada kejayaan kelab JDT dan KL City yang membantu dalam kenaikan mata ranking kelab Asia.