Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad mahu menggembleng sokongan semua pihak demi menyelamatkan kelab KL City FC.
Sokongan yang dimaksudkan ialah meningkatkan kembali bilangan kehadiran penyokong The City Boys di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Khalid mahu berbuat demikian selepas membuat mengamati kehadiran penyokong dalam aksi terbaru Liga Super antara KL City dan Selangor FC pada 14 Julai lalu. Beliau mendapati lebih 70% penyokong yang hadir daripada 4,248 orang ialah penyokong Merah Kuning.
Khalid melihat keadaan ini berlaku disebabkan kekurangan pencapaian yang dilakar The City Boys sejak sekian lama. Perkara itu hanya berubah apabila Bojan Hodak membimbing pasukan itu dari 2021 hingga 2023.
Era Hodak menyaksikan KL City menjulang gelaran juara Piala Malaysia 2021, finalis Piala AFC 2022 dan finalis Piala FA 2023.
Justeru, Khalid berhasrat meningkatkan semula kehadiran penyokong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Ini bukan saja akan membantu pasukan itu dari segi kewangan tetapi juga dari segi sokongan moral kepada KL City pada hari perlawanan.
“Pada perlawanan menentang Selangor tempoh hari, kita dapati hampir 70%, mungkin lebih daripada itu yang hadir ialah penyokong Selangor.
“Tapi penyokong KL sebab berpuluh tahun tak mencapai tahap membanggakan, maka sudah kurang. Jadi, kita nak bina balik,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan pada 17 Julai lalu.
Khalid mahu merealisasikan usaha itu dengan menggembleng sokongan semua pihak terutama entiti politik. Caranya ialah menerusi sumbangan peruntukan tiket pada hari perlawanan.
Pada masa sama, beliau melihat usaha ini memerlukan kesedaran semua pihak. Tanpa kerjasama semua termasuk entiti politik, isu yang melanda KL City akan terus berlarutan tanpa penyelesaian tuntas.
“Jadi, cara kita nak bina balik dengan cara kita manfaatkan parti politik (dan) kita manfaatkan persatuan-persatuan belia semuanya. Tetapi Ahli-ahli Parlimen kena ada kesedaran untuk biayai sebahagian kos tiket.
“Katakan untuk satu perlawanan di Stadium Cheras, seorang Ahli Parlimen sumbang 500 atau 300 tiket. Maka dengan itu, kita sudah boleh mencapai (jualan) 3,000 (penyokong) yang hadir,” ujarnya.
Khalid sebelum ini turut berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar menyalurkan peruntukan 0.5% daripada pendapatan sebanyak RM2.38 Bilion yang diterima entiti berkenaan.
Ini kerana dengan peruntukan tersebut, ini akan membantu The City Boys mengatasi isu tunggakan gaji yang timbul.