Bekas jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Kiatisuk Senamuang telah mengutuskan sepucuk surat kepada pengerusi kelabnya, Cong An Ha Noi (CAHN) bagi menyatakan hasrat beliau untuk meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih kelab Vietnam tersebut.
Keputusan itu agak mengejutkan banyak pihak lebih-lebih lagi Kiatisuk telah membawa CAHN dengan agak baik dan meletakkan kelab kini di kedudukan kedua Liga Vietnam, V-League 1.
Punca utama Kiatisuk bertindak meletakkan jawatan adalah disebabkan masalah keluarga yang memaksa beliau perlu pulang ke Thailand.
“Pengerusi Kelab Bola Sepak Polis Hanoi yang dihormati. Pemain saya, semua kakitangan, penyokong terpenting Kelab CAHN, peminat saya dan rakan akhbar saya.
“Sarapan pagi hari ini bersama Pengerusi Kelab CAHN adalah seperti ucapan selamat tinggal daripada saya kepada majikan yang hebat. Saya benar-benar menikmati masa saya bekerja di Kelab CAHN dan saya sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan dan pengalaman bekerja di sini walaupun dalam masa yang singkat.
“Banyak juga yang saya pelajari sepanjang saya bekerja di sini. Namun, disebabkan masalah peribadi keluarga, saya ingin meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Kelab CAHN dan kembali ke Thailand.
“Saya telah melengkapkan semua dokumen yang berkaitan dan akan menyediakan dokumen tambahan yang diperlukan untuk menyokong pasukan dengan sebaik mungkin,” coret Kiatisuk seperti yang dilaporkan TheThao247.
Kiatisuk hadir ke CAHN pada pertengahan Januari yang lalu dan jodohnya bersama kelab tersebut hanya bertahan dalam tempoh empat bulan sahaja.