Kim Min-jae Satu-Satunya Harapan Asia Di Ballon d’Or

Kim Min jae KFA Kim Min-jae Satu-Satunya Harapan Asia Di Ballon d'Or
KFA
Azim Noor @mohdazim45
2:59pm 08/09/2023

Bek tengah Korea Selatan, Kim Min-jae mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi pemain pertahanan Asia pertama tersenarai dalam calon Ballon d’Or 2023.

Ini berdasarkan senarai calon yang diumumkan penganjur anugerah, majalah France Football semalam seperti dikongsikan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.

Ini menjadikan Min-jae sebagai pemain Korea keempat tersenarai sebagai calon Ballon d’Or. Selain beliau, Seol Ki-hyeon (Anderlecht/2002), Park Ji-sung (Manchester United/2005) dan Son Heung-min (Tottenham Hotspur/2019 dan 2022).

SPOTV mendedahkan pada tahun lepas, Heung-min menduduki tangga ke-11 dari segi undian pemenang anugerah. Ini menjadikan penyerang berbisa Korea Selatan itu pemain Asia paling tinggi dari segi ranking dalam sejarah Ballon d’Or.

Nama Min-jae mula jadi sebutan selepas membantu Napoli menjulang Serie A buat kali pertama sejak 1990 pada musim lepas. Sejak itu, khidmatnya diintai oleh beberapa kelab besar termasuk Manchester United.

Bagaimanapun, pada akhirnya, Min-jae menyertai Bayern Munich dengan kontrak selama lima tahun pada tetingkap perpindahan lepas.

Begitupun, bek tengah Korea Selatan itu mempunyai peluang tipis untuk memenangi Ballon d’Or. Ini kerana dalam sejarah anugerah, peluang terbaik bagi pemain pertahanan menggondol gelaran Ballon d’Or ialah mereka berstatus pemenang Piala Dunia seperti Fabio Cannavaro.

Selain itu, ramai percaya anugerah Ballon d’Or bakal dimenangi oleh legenda Argentina, Lionel Messi selepas memenangi Piala Dunia 2022.