Kim Pan-gon Bakal Tentukan Lawan Harimau Malaya
MakanBola
Azri / MakanBola
Sponsors

Dengan Pesta Bola Merdeka bakal dianjurkan tidak lama lagi, ramai ingin tahu siapa yang bakal menjadi lawan Harimau Malaya. Tetapi bagi FAM, siapa saja lawan negara dalam kejohanan itu hanya akan ditentukan oleh jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon.

Hal ini disentuh oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman. Malah, ketika ini, belum ada sebarang jemputan yang dihantar kepada mana-mana pasukan untuk menyertai kejohanan tersebut di sebalik khabar angin yang menyatakan sebaliknya.

Ad

Sebelum ini, India sudah menyatakan kesediaan untuk menyertai Pesta Bola Merdeka. Tetapi pada akhirnya, terpulang kepada Pan-gon untuk menentukan lawan mana yang mahu dihadapi skuad negara dalam kejohanan itu nanti.

Ad

“Itu mereka (India) yang setuju tapi FAM belum sahkan lagi. Kita memang terbuka, tapi untuk perkara ini kita serahkan kepada ketua jurulatih sebab beliau pastinya mempunyai kriteria-kriteria yang dimahukan untuk pasukan lawan,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed menjangkakan satu pasukan Asia Barat dan dua pasukan dari Asean bakal menyertai kejohanan yang bakal berlangsung pada Oktober ini.

Ad

Kali terakhir Pesta Bola Merdeka dianjurkan ialah sekitar tahun 2013. Kejohanan itu telah dianjurkan sebanyak 41 kali sejak 1957 dengan Malaysia muncul pasukan paling berjaya dengan 10 kejuaraan.

Ad

Ini diikuti Korea Selatan (tujuh kali) dan Myanmar (empat kali). Siapa saja lawan yang dipilih Pan-gon, ia bakal menjadikan persaingan dalam kejohanan itu lebih sengit dan meriah.

Ad