Jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah berusaha sebaik mungkin untuk belajar dan memahami budaya bola sepak tempatan sebelum mengambil tindakan yang dirasakan sesuai dengan keadaan bola sepak semasa.
Pengendali berusia 52 tahun itu menjelaskan, beliau perlu meneliti sebaik mungkin mengenai segala perkara yang melibatkan pemain dan juga panggil untuk mewakili Harimau Malaya sebelum tindakan yang sewajarnya diambil untuk pemain yang menolak pelawaan dengan alasan yang tidak kukuh.
Bukan itu sahaja, beliau tidak mahu bersikap gopoh dan terburu-buru untuk membuat keputusan sambil menegaskan bahawa perkara utama yang perlu difokuskan adalah untuk mengenal secara terperinci tentang keadaan bola sepak kita.
‘Perkara ini agak sensitif tetapi saya cuba untuk memahaminya terlebih dahulu kerana saya masih baharu di sini. Saya tidak tahu latar belakang mereka (pemain), jadi kami perlu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.’
‘Saya boleh bertindak tegas tetapi perkara itu biarlah dilakukan kemudian. Setiap pemain amat penting dan saya perlu mengetahui sebabnya (menolak panggilan skuad kebangsaan) terlebih dahulu,’ -Jelasnya kepada Berita Harian.
Namun begitu, Pan-gon mahu memfokuskan untuk membentuk perkara-perkara penting yang perlu diaturkan dalam sebuah pasukan.
Hal ini dilihat bertitik-tolak daripada keputusan pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali yang difahamkan telah menolak panggilan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.
Walau bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, setakat ini pihaknya tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kerana kem latihan pusat masih berlangsung di luar tarikh aksi ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Sekiranya Rizal tidak menghadirkan diri sehingga tarikh akhir FIFA iaitu 21 Mac, pihaknya akan membawa perkara berkenaan kepada Jawatankuasa Tatatertib bagi menentukan tindakan yang sewajarnya.
Skuad Harimau Malaya sedang melakukan persiapan menerusi kem latihan pusat bagi menghadapi tiga aksi persahabatan berdepan Filipina pada 23 Mac ini, sebelum menentang Singapura (26 Mac) dan Albirex Niigata Singapura (28 Mac).