Advertisement
Kim Pan-gon Calon Jurulatih Terbaik K-League
Asia
MakanBola
Ulsan HD

Bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berpeluang mendapat satu lagi anugerah di Korea Selatan.

Ini selepas nama jurulatih berusia 55 tahun itu tersenarai sebagai calon Jurulatih Terbaik K-League 2024. Pan-gon tersenarai bersama jurulatih Gangwon FC, Yoon Jung-hwan dan pengendali Gimcheon Sangmu, Chung Jung-yong.

Jurulatih Ulsan HD itu tercalon untuk anugerah berkenaan selepas membantu kelab itu muncul juara K-League 1 buat kali ketiga berturut-turut.

Sebelum ini, Pan-gon pernah meraih Jurulatih Terbaik Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA) pada 2010. Kejayaan itu diraih selepas membantu South China muncul juara Hong Kong First Division musim 2009/10.

Peluang Pan-gon meraih anugerah berkenaan lebih cerah seandainya Ulsan muncul juara Korea FA Cup. Ini kerana Ulsan bakal berentap dengan Pohang Steelers di pentas final pada 30 November ini.

Sekiranya Pan-gon meraih anugerah Jurulatih Terbaik K-League, beliau mengikut jejak pengendali sebelumnya, Hong Myung-bo. Myung-bo meraih anugerah tersebut sebanyak dua kali pada 2022 dan 2023.

Sementara itu, Joo Hyeon-woo, Anderson Oliveira dan Yang Min-hyeok berentap untuk anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) K-League 2024.

Hyeon-woo memastikan Ulsan hanya tewas tiga kali dalam kempen kejuaraan mereka. Yang Min-hyeok pula merekodkan 11 gol dan enam bantuan gol dalam 37 penampilan bersama Gangwon.

Bakatnya itu pantas disambar Tottenham Hotspur pada musim panas yang lalu. Min-hyeok dijangka berkelana ke England selepas tamat musim K-League 1.

Manakala Oliveira pula membantu Suwon menduduki kedudukan enam teratas liga menerusi sumbangan tujuh gol dan 14 bantuan gol.