Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak buahnya ketika menundukkan Chinese Taipei di Bukit Jalil.
Skuad kendaliannya mempamerkan persembahan memukau untuk menewaskan lawan dengan keputusan 3-1.
Kedudukan ini bagaimanapun masih tidak mengubah masa depan negara untuk layak ke pusingan seterusnya.
Pengendali kelahiran Korea Selatan ini mengakui terdapat beberapa kecatatan dalam perangkaan taktikal babak pertama yang menjejaskan rentak permainan.
“Kita (Harimau Malaya) tidak dapat mencapai sasaran untuk jaringkan 7 gol, berlaku banyak masalah teknikal dan kesilapan percaturan pada babak pertama.
“Babak kedua berlangsung lebih positif, dan menjaringkan tiga gol. Ini menjadi DNA Malaysia untuk sentiasa bangkit selepas ketinggalan.
Beliau juga harap barisan kejurulatihan dan pemain dapat belajar sesuatu selepas berjaya mengutip 10 mata daripada kelayakan kali ini.
“Semua orang pasti sakit dan menangis, apa yang berlaku dapat menjadi pengajaran. Segala perancangan menentang Oman telah gagal. Saya meminta kelab macam-macam dan ia membebankan tetapi kita perlukan kerjasama semua.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara lepas dan fokus untuk masa depan. Perancangan kami adalah untuk menanti keputusan Oman. Selepas itu, kita akan beraksi di Piala AFF.
“Kita perlu bekerja lebih keras untuk layak ke Piala Asia 2027.
“Dalam kontrak saya perlu kekal, tetapi jika ada desakan untuk saya pergi, saya akan pergi. Saya memberikan segalanya, dan kita berjuang tetapi terlalu penat. Saya tak pernah mahu tinggalkan Malaysia,” jelasnya selepas perlawanan.
Harimau Malaya menamatkan kempen Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.