Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon akui sedikit kecewa apabila tidak dapat mempertingkatkan semangat patriotik dalam diri para pemain Malaysia.
Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, Kim Pan-gon tampil menyuarakan apa yang terbuku dalam diri beliau selama ini.
Pan-gon menyifatkan para pemain Malaysia seharusnya memiliki semangat cinta akan tanah air itu lebih tinggi. Ini kerana mereka inilah individu yang membawa nama negara untuk beraksi di pentas antarabangsa.
“Bagi saya inilah perkara yang sedikit hilang dan saya tidak berjaya capai. Sebagai pemain, kita perlu fikir betapa pentingnya semangat berjuang untuk negara.”
Pengendali berusia 55 tahun itu akui gagal dalam memupuk jiwa para pemain untuk meletakkan komitmen terhadap negara lebih tinggi. Tambah Pan-gon, beliau sering berusaha untuk memupuk rasa itu dalam diri mereka setiap kali panggilan kem kebangsaan.
“Saya tak mahu berkata banyak kerana mereka ini pemain-pemain yang profesional, cuma saya mahukan komitmen daripada mereka untuk lebih patriotik.”
“Ketika di kem kebangsaan, itulah yang saya tekankan kerana saya rasa kita perlu lebihkan rasa itu ketika berjuang,” ujar Kim Pan-gon kepada Astro Arena.
Ketika menjadi ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon kecapi pelbagai kejayaan bersama Harimau Malaya.
Selain berjaya melonjakkan ranking FIFA Malaysia di kelompok 130 dunia, beliau juga merupakan individu penting yang melayakkan Malaysia ke Piala Asia 2024, menjadi Naib Juara Pestabola Merdeka 2023 dan Naib Juara King’s Cup pada tahun 2022.