Kim Pan-gon: Keinginan Malaysia Lebih Tinggi Berbanding Taiwan

Kim Pan gon 21 Kim Pan-gon: Keinginan Malaysia Lebih Tinggi Berbanding Taiwan
FA Malaysia
Nabil Fahmi @nabilfamy
5:26pm 20/11/2023

Menjelang aksi kedua Malaysia dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Taiwan esok (21 November), pengendali Malaysia, Kim Pan-gon telah menyuarakan keyakinan beliau.

Bagi Pan-gon, beliau percaya para pemainnya akan berusaha sehabis baik untuk mendapatkan tiga mata untuk aksi genting esok biarpun sedar rekod lampau Malaysia di Taiwan adalah buruk.

“Selepas kami mendapat keputusan yang baik di Malaysia, namun ini adalah perlawanan di tempat lawan. Bagi saya, ianya perlawanan penting untuk kami. Saya tahu rekod Malaysia beraksi di Taiwan tidak bagus.

“Saya tahu pasukan Taiwan semakin meningkat dan apabila mereka beraksi di tempat sendiri, mereka sangat kuat. Kami merendah diri untuk hadapi perlawanan untuk meraih tiga buat Malaysia,” jelas Kim Pan-gon dalam sidang media pra perlawanan sebentar tadi.

Dalam masa yang sama, Pan-gon merasakan sasaran Malaysia tidak sama dengan apa yang disasarkan Taiwan. Ini kerana, Malaysia mensasarkan mahu menjadi 18 terbaik di Asia.

“Kami mempunyai impian untuk mara ke peringkat 18 terakhir Kelayakan Piala Dunia. Jika kita mahu ke sana, esok akan menjadi cabaran untuk mendapatkan tiga mata.

“Situasi Malaysia dan Taiwan berbeza. Sasaran juga berbeza. Kami mahu pergi ke pusingan 18, saya tak rasa Taiwan mahu pergi ke pusingan 18 juga. Kami lebih berkeinginan, kami lebih bersemangat. Saya yakin pemain kami berkeinginan yang sama,” tegasnya lagi.

Malaysia bakal berdepan tugas getir untuk mendapatkan tiga mata esok. Jika dilihat kepada rekod terdahulu, Malaysia tidak pernah menang ke atas Taiwan di gelanggang lawan. Sudah tentu ianya menarik untuk disaksikan.

Malaysia kini menghuni tangga kedua Kumpulan D dengan mengumpul 3 mata selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 tempoh hari. Berkongsi mata yang sama adalah Oman yang menewaskan Taiwan 3-0 pada aksi sulung mereka.