Ketua Jurulatih Ulsan HD, Kim Pan-gon bakal membuat kemunculan semula di Malaysia.
Pengendali berpengalaman itu telah meninggalkan skuad kebangsaan Malaysia pada 15 Julai lalu selepas dua tahun empat bulan bersama skuad negara.
Beliau telah kembali ke Korea Selatan untuk mengambil alih tugas Ketua Jurulatih Ulsan HD yang juga beraksi dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE).
Nasib kurang baik terpaksa ditempuhinya apabila tewas ketiga-tiga perlawanan pembukaan dengan kesemuanya menentang wakil dari Jepun.
Cabaran keempat bakal ditempuhi olehnya adalah menentang kelab Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi aksi ACLE di Stadium Sultan Ibrahim.
Rekod kurang baik dipegang oleh kelab Korea itu selepaa tewas tiga daripada 4 pertembungan menentang JDT sejak dua tahun lalu termasuklah kekalahan 2-1 di Johor Bharu pada 2023.
Skuad Harimau Selatan kini mengumpul 4 mata selepas tiga perlawanan dan melakar kemenangan ke atas Shanghai Shenhua 3-0, seri menentang Shanghai Port dengan keputusan 2-2 sebelum tewas kepada Gwangju dengan jaringan 3-1.
JDT pula memiliki rekod baik dalam saingan domestik terutamanya beraksi di laman sendiri sekaligus memberikan cabaran sukar buat Ulsan HD.
Aksi antara JDT menentang Ulsan HD dijadualkan berlangsung pada 5 November 2024 jam 8 malam di SSI.