Advertisements
Kim Pan-gon Mahu Pertahankan Kejuaraan Ulsan
Asia
MakanBola
Ulsan HD FC

Pengendali Ulsan HD, Kim Pan-gon berazam membawa kejuaraan K-League 1 buat kali ketiga berturut-turut buat pasukan berkenaan.

Hasrat itu dilaungkan bekas pengendali Harimau Malaya itu pada Hari Media Pusingan Playoff Kejuaraan K-League 1 musim 2024 pada 16 Oktober lalu.

Ulsan sudah merasai nikmat kejuaraan K-League 1 dua musim berturut-turut pada 2022 dan 2023 di bawah bimbingan legenda Korea Selatan, Hong Myung-bo.

Meskipun Myung-bo meninggalkan pasukan pada pertengahan musim 2024 kerana memilih menyertai skuad kebangsaan Korea Selatan, cabaran kejuaraan terus dikekalkan di bawah pimpinan Pan-gon.

Atas sebab itu, jurulatih berusia 55 tahun itu mahu memastikan usaha mereka bergelar juara buat kali ketiga dapat dicapai.

“Gimcheon sudah menunjukkan keupayaan mereka dan Gangwon bijak menggunakan kelebihan mereka yang tersembunyi.

“Ulsan sudah bergelar juara selama dua musim. Kita akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan kejuaraan. Saya akan menang. Saya akan lakukan yang terbaik untuk membawa kegembiraan kepada penyokong,” katanya seperti yang dilaporkan portal Best Eleven.

Ulsan yang diberi jolokan The Tigers berharap prestasi dalam saingan liga dapat meniup kebangkitan mereka di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Ini kerana ketika ini, mereka berada di kedudukan tercorot ACLE selepas dua perlawanan.

Ulsan akan membuka saingan playoff kejuaraan dengan menentang Gimcheon Sangmu pada 19 Oktober. Ini disusuli aksi ACLE menentang Vissel Kobe pada 23 Oktober ini.

Sekiranya Ulsan muncul juara pada akhir musim, maka ini bakal menjadi trofi pertama Pan-gon di negara kelahirannya itu. Ini kerana tiga trofi yang dimenanginya sebelum ini ialah bersama kelab Hong Kong, South China.