Advertisements
Kim Pan-gon Perlukan 3 Bulan Julang Trofi Pertama Di Korea
Asia
MakanBola
Ulsan HD

Bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon hanya memerlukan tempoh tiga bulan untuk meraih trofi pertamanya bersama Ulsan HD.

Ulsan muncul juara K-League 1 buat kali ketiga berturut-turut dengan baki satu perlawanan. Ini selepas pasukan itu menewaskan Gangwon 2-1.

Gustav Ludwigson dan Joo Min-kyu memastikan penyokong The Tigers ceria. Manakala Lee Sang-heon menjaringkan gol saguhati buat Gangwon.

Jika dibandingkan situasi ini dengan situasi Ulsan pada Ogos lalu, The Tigers pada ketika itu berada di kedudukan keempat liga dengan 42 mata. Sementara Gimcheon Sangmu menerajui liga dengan kelebihan 46 mata.

Siapa sangka dalam tempoh tiga bulan, Pan-gon bukan saja mengubah momentum kembali kepada Ulsan. Malah, momentum tersebut membantu kelab berkenaan muncul kelab keempat dalam sejarah liga yang meraih kejuaraan sebanyak tiga kali.

Ini terbukti apabila pasukan itu merekodkan 13 perlawanan liga tanpa kalah selepas tewas kepada Suwon FC pada 18 Ogos lalu.

Perkara ini turut diakui Pan-gon apabila diminta mengulas kesukaran mengambil alih Ulsan pada pertengahan musim 2024.

“Pada awalnya, saya rasa teruja, yakin dan memiliki ramai pemain yang bagus. Walau bagaimanapun, bukan mudah (mengambil alih) pasukan di pertengahan musim, bermula di kedudukan keempat dan mengatasi jurang empat mata dan bukan mudah untuk mengekalkan kedudukan sebagai peneraju.

“Apabila saya bangun pada waktu pagi, saya rasa bersyukur. Walau bagaimanapun, sejak sebulan lepas, saya menyesal kerana membuat pilihan yang salah dan sukar. Tidak banyak yang saya boleh lakukan.

“Saya perlu atasi diri saya dan saya tidak perlu menangis. Ia satu kekuatan (buat jurulatih) untuk para pemain untuk percaya dan mengikut (hala tuju yang ditetapkan) jurulatih,” katanya kepada Sports Chosun.

Kini, momentum itu mahu diteruskan beliau bukan saja untuk saingan K-League 1 musim hadapan. Malah, ia diharap membantu Ulsan bangkit dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Selepas ini, The Tigers bakal menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada 5 November ini. Ulsan berharap dapat meraih kemenangan untuk keluar dari kelompok tercorot Liga Timur ACLE.