Pengendali skuad senior Malaysia, Kim Pan-gon percaya ada tiga penambahbaikan yang mampu membawa bola sepak negara ke hadapan.
Hal ini timbul selepas Harimau Malaya gagal layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 meskipun meraih kemenangan 3-1 ke atas Chinese Taipei.
Sementara negara jiran, Indonesia ceria apabila berjaya layak ke pusingan seterusnya buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara itu. Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan Filipina 2-0.
Kejayaan Tim Garuda itu dicapai menerusi usaha Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) merekrut ramai pemain warisan untuk menyertai skuad berkenaan.
Lantas, ada pihak berpandangan bahawa usaha PSSI ini patut dicontohi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Walau bagaimanapun, Pan-gon melihat kaedah itu hanya sebahagian daripada solusi yang perlu diaplikasikan dalam bola sepak negara.
Ini kerana jurulatih Korea Selatan itu melihat penambahbaikan sistem pembangunan akar umbi dan usaha berterusan mengesan bakat baru tempatan juga penting demi kesinambungan sukan itu di Malaysia.
“Saya fikir kita banyak berbincang tentang hal ini (isu pemain warisan). Tapi adakalanya, kita perlu lihat situasi Malaysia. Saya dapat lihat situasi ini sukar, sangat sukar. Tapi saya tak tahu macam mana nak baiki sebab ia terlalu besar untuk dibaiki.
“Tak boleh bandingkan dengan Korea Selatan dan Jepun sebab mereka ada sistem (pembangunan) yang bagus. Sekarang kita perlu periksa dan tubuhkan sistem (pembangunan) untuk hasilkan pemain muda berbakat.
“Di sini juga, (kita) kena gunakan pemain muda berbakat yang dihasilkan. Satu lagi cara macam semua orang (kata), usahakan macam jurulatih Indonesia (Shin Tae-yong) buat (iaitu) pergi ke Eropah dan cari pemain berdarah warisan.
“Mungkin (boleh), saya tak tahu. Tapi pada saya, yang penting dahulu ialah pembangunan bakat tempatan (dan hasilkan) pemain tempatan berbakat.
“Kemudian kalau kata ada usaha tambahan, kita akan berjuang (mendapatkannya). Pada saya, Indonesia akan jadi pasukan utama (rantau Asia Tenggara) tidak lama lagi.
“Mereka telah banyak berusaha tetapi bagi Malaysia, kita harus terus mencabar. Kita harus terus mencabar,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.
Malaysia menutup kempen Kumpulan D dengan mengutip 10 mata daripada enam perlawanan kumpulan. Kini, fokus negara seterusnya ialah kempen ASEAN Championship 2024 dan kelayakan Piala Asia 2027.