“Kim Pan-gon Suruh Saya Serang” -Daniel Ting

Daniel Ting FA Malaysia "Kim Pan-gon Suruh Saya Serang" -Daniel Ting
FA Malaysia
Azim Noor @mohdazim45
6:21pm 18/11/2023

Pemain pertahanan Sabah FC, Daniel Ting mengakui beliau hanya mengikut arahan Kim Pan-gon semasa skuad negara mengalahkan Kyrgyzstan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada Khamis lepas.

Harimau Malaya berupaya meraih kemenangan selepas beberapa pertukaran yang direncana jurulatih Korea Selatan itu berjaya menjerat The White Falcons.

Ini termasuk kehadiran Daniel sebagai pemain gantian menggantikan Dominic Tan pada minit ke-67.

Kehadiran beliau membawa kepada dua gol lewat yang dijaringkan oleh Dion Cools dan Faisal Halim.

“Apabila jurulatih (Kim Pan-gon) memasukkan saya, beliau hanya suruh saya menyerang. Jadi saya cuba membantu pasukan saat ketinggalan,” katanya kepada wartawan MakanBola, Faris Zukeiman.

Sementara itu, Daniel mengakui perlu bersaing sengit dengan La’Vere Corbin Ong dalam merebut posisi bek kiri Harimau Malaya.

Bek kiri berusia 30 tahun itu hanya fokus kepada memberi yang terbaik tanpa mengira sama ada beliau diturunkan atau tidak.

Ini kerana yang penting bagi Daniel ialah kemenangan buat Harimau Malaya seperti yang terjadi pada Khamis lepas.

“Saya cuba membantu pasukan sebanyak mana yang boleh. Saya gembira jika diturunkan tetapi jika Corbin-Ong yang beraksi, saya juga tetap gembira kerana yang penting kita menjaringkan gol dan menang,” tambahnya.

Bek kiri skuad Badak itu kini sibuk mengikuti persiapan Harimau Malaya menentang Taiwan. Skuad negara bakal turun menentang Taiwan di tempat lawan pada Selasa ini.