Pengendali Ulsan HD, Kim Pan-gon pantas mengatur langkah pasukan itu menjelang saingan K-League 1 musim 2025.
Ini kerana kelab yang diberi jolokan The Tigers itu sudah mendapatkan empat pemain. Empat pemain tersebut ialah Yoon Jong-gyu, Yoon Jae-seok, Moon Jung-in dan Park Min-seo.
Ulsan juga dilaporkan dalam proses mendapatkan pemain tengah Puszcza Niepołomice, Lee Jin-hyun dan pemain berpengalaman FC Seoul, Kang Sang-woo.
Ini dilihat sebahagian daripada usaha Pan-gon bukan saja untuk mempertahankan gelaran juara K-League 1 yang dimenangi sebanyak tiga kali berturut-turut.
Malah, kehadiran pemain-pemain baru dapat membantu The Tigers memperbaiki kedudukan liga mereka dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Ulsan ketika ini berada di tangga ke-11 Liga Timur ACLE dengan tiga mata selepas enam perlawanan. Mereka perlu menang baki dua perlawanan jika ingin layak ke pusingan seterusnya.
Ini kerana hanya lapan pasukan terbaik setiap liga saja yang layak ke pusingan 16 pasukan terbaik ACLE. Seandainya Ulsan tewas, mereka akan mengikut jejak Central Coast Mariners yang telah tersingkir.
Ulsan bakal berdepan tugas sukar kerana mereka akan menentang pendahulu Thai League 1, Buriram United dan kelab China, Shandong Taishan. Kedua-dua perlawanan itu bakal berlangsung pada 12 dan 19 Februari ini.
Ulsan turut melakukan rombakan dengan melepaskan beberapa pemain termasuk bekas penjaring terbanyak K-League 1 musim 2023, Joo Min-kyu.
Selepas khidmatnya tidak dikekalkan The Tigers, Min-kyu dilaporkan bakal berhijrah ke satu lagi pasukan K-League 1, Daejeon Hana Citizen.