Perlawanan ‘Borneo Derby’ membabitkan Sabah FC dan Kuching City FC berakhir dengan kemenangan 4-3 buat skuad Badak. Tetapi bagi pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, tindakan anak-anak buahnya mengambil mudah cabaran Il Gatto hampir memakan diri.
Sabah pada satu ketika mendahului 3-1 menerusi gol Saddil Ramdani, Ramon Machado dan Stuart Wilkin. Bagaimanapun, Abu Kamara menyumbat dua gol bagi meletakkan keputusan 3-3.
Justeru, tidak hairanlah Kim Swee menyifatkan pasukannya lebih bernasib baik apabila Machado menyumbat gol kemenangan pada minit ke-94. Bagi beliau, perkara ini sudah kerap berlaku dan beliau mahu ia tidak diulangi dalam perlawanan mereka yang seterusnya.
“Ya, kita mengambil mudah selepas mendahului. Ini kerap berlaku tetapi nasib menyebelahi kita pada malam ini di mana dengan kesungguhan, kita mendapat gol kemenangan pada saat-saat akhir.
“Dan ini tidak harus berulang di mana kita tahu pasukan-pasukan selepas ini, pasukan-pasukan akan menambahbaik para pemain mereka. Ini termasuk Kuching City yang menunjukkan saingan sengit pada malam ini,” katanya dalam temubual pasca-perlawanan hari ini.
Selepas ini, Sabah FC akan melayan kunjungan Sri Pahang FC untuk aksi Liga Super seterusnya pada 15 Julai ini.