Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo memacu Al-Nassr layak ke final King’s Cup dengan menewaskan Al-Khaleej 3-1 hari ini.
King’s Cup dilihat peluang buat Al-Alami menambah koleksi trofi mereka untuk musim 2023/24. Ini selepas pasukan itu menggondol gelaran juara Arab Club Champions Cup pada awal musim.
Babak pertama menyaksikan Al-Nassr memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk memburu kelebihan gol awal.
Tuan rumah perlu menunggu sehingga minit ke-17 untuk membuka tirai jaringan menerusi Ronaldo selepas menerima hantaran Ayman Ahmed.
Gol berkenaan membakar semangat Al-Alami untuk memburu gol seterusnya. Hasrat mereka tercapai apabila pasukan itu dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-37.
Bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane mudah menyempurnakan penalti yang menewaskan penjaga gol Al-Khaleej, Ibrahim Sehic. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah terus meningkatkan asakan untuk menambah kelebihan gol yang dimiliki mereka.
Ronaldo sekali lagi mencipta nama dengan penjaring dengan menyudahkan hantaran Ayman pada minit ke-57.
Jurulatih Al-Khaleej, Pedro Emanuel kemudiannya membuat beberapa pertukaran pemain untuk kembali memperkemaskan rentak pasukan.
Percaturan beliau memastikan pasukan itu meraih gol saguhati menerusi Fawaz Al-Torais pada minit ke-82. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sofascore memilih Ronaldo sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.7, 0.6 mata di hadapan Aymen. Sementara Sehic pula dipilih pemain terbaik Al-Khaleej dengan markah 8.0.
Keputusan ini menyaksikan Al-Nassr bakal berhadapan dengan musuh ketat mereka, Al-Hilal di pentas final.
Al-Alami dijangka berdepan tugas sukar menentang The Blue Waves selepas tiga kali tewas kepada lawan sama sepanjang musim ini. Ini termasuk kekalahan di peringkat separuh akhir Saudi Super Cup pada 9 April lalu.
Selepas ini, Al-Nassr akan turun menentang Al-Wehda dalam saingan Saudi Pro League pada 5 Mei ini. Sementara Al-Khaleej pula akan menentang Al-Tai pada 4 Mei.