King’s Cup: Iraq Juara Benam Thailand

Thailand Iraq Piala Raja Thailand Iraq Football Podcast King's Cup: Iraq Juara Benam Thailand
Iraq Football Podcast
Azim Noor @mohdazim45
12:14am 11/09/2023

Hasrat Thailand menjulang Thai King’s Cup buat kali pertama sejak 2017 gagal apabila tewas kepada Iraq dalam aksi final hari ini.

Kedua-dua pasukan mara ke final selepas masing-masing menewaskan Lubnan dan India dalam aksi pertama kejohanan pada Khamis lepas.

Aksi final yang sepatutnya bermula pada jam 9.30 waktu Malaysia terpaksa dilewatkan untuk seketika susulan hujan lebat di Stadium Ulangtahun Ke-700 Chiangmai, Chiangmai.

Babak pertama menyaksikan Lions of Mesopotamia membuka jaringan menerusi Aymen Hussein pada minit keenam. Ini merupakan gol ke-15 beliau dalam 44 penampilan untuk Iraq.

Tersentak, tuan rumah yang dibimbing Mano Polking bangkit memburu gol penyamaan. Hasilnya, bek kanan OB, Nicholas Mickelson menyumbat gol penyamaan pada minit ke-37.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kedua. Pasukan pelawat lebih bernasib baik apabila Amjad Attwan menyumbat gol kedua pada minit ke-65.

Thailand menyangka dapat menyamakan kedudukan pada minit ke-78 selepas bola terkena tangan Osama Rashid dalam kotak penalti. Malangnya, sepakan penalti kapten Theerathon Bunmathan berjaya dinafikan penjaga gol Fahad Talib.

Kekecewaan itu ditebus oleh pemain sayap Port, Bordin Phala yang menjaringkan gol pada minit ke-82. Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan terikat 2-2, penentuan sepakan penalti dibuat bagi menentukan pemenang. Iraq muncul pemenang dengan mengatasi Gajah Perang menerusi keputusan 5-4.