Syria meneruskan momentum kemenangan di bawah bimbingan jurulatih Sepanyol, Jose Lana dengan menewaskan Tajikistan dalam aksi pembukaan King’s Cup 2024.
Helang Qasiun semakin ghairah memburu kemenangan selepas menewaskan Mauritius dan India dalam saingan Intercontinental Cup pada September lalu. Manakala Tajikistan pula mahu tampil lebih mantap selepas meraih tempat ketiga Pestabola Merdeka 2024.
Penyerang Al-Shorta SC, Mahmoud Al-Mawas menjadi sandaran Lana merobek gawang The Crowns. Manakala Shahrom Samiev menjadi pilihan Gela Shekiladze untuk merobek gawang Helang Qasiun.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mencari peluang untuk mendapatkan gol awal.
Pemain tengah menyerang Lamphun Warriors, Mohammed Osman menceriakan kem Syria dengan meledakkan gol pada minit ke-35.
Tersentak, barisan serangan The Crowns terdiri daripada Samiev, Nuriddin Khamrokulov dan Daler Sharipov berusaha mendapatkan gol penyamaan.
Walau bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol Syria berdarah Argentina, Esteban Glellel memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Shekiladze membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Murodali Aknazarov untuk menggantikan Islam Zoirov.
Meskipun begitu, Tajikistan terus buntu memecah bentang pertahanan Syria yang dikawal bek tengah Charleroi, Aiham Ousou.
Shekiladze kemudiannya memberi peluang kepada Abubakr Sulaimonov untuk membuat penampilan pertama bersama Tajikistan. Sulaimonov masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-56.
Lana turut menggunakan aksi ini untuk memberikan penampilan pertama kepada penyerang IFK Varnamo, Mohammad Alsalkhadi. Penyerang berusia 23 tahun itu masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-65.
Tajikistan terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini kemenangan ketiga berturut-turut buat Lana sejak dilantik sebagai pengganti Hector Cuper pada penghujung Ogos lalu.
Kemenangan ini memastikan Syria layak ke final King’s Cup edisi 2024. Kini, mereka menanti pemenang antara Thailand dan Filipina sebagai lawan di pentas final.