Muhammad Hamka Ruslan, 25 tahun bekas pelajar dan pemain bola sepak Sekolah Sukan Bukit Jalil kini boleh berbangga dengan perniagaan urutan sukannya.
Kali ni kami sempat menemuramah beliau yang aktif menjalankan perniagaan urutan sukan.

Beroperasi secara bergerak (rumah ke rumah), anak bongsu dari 3 orang adik beradik ini menggunakan segala ilmu yang beliau pelajari semasa menuntut di UITM Arau, Perlis dalam jurusan Pengajian Sukan Dengan Kepujian pada tahun 2012-2014 dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan di UiTM Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 2015-2017.

Aktif Bermain Bola Sepak
Beliau pernah mewakili Sekolah Sukan Bukit Jalil (Bawah 17 Kebangsaan) pada tahun 2011 dan juga bermain untuk skuad Piala Presiden Putrajaya dan Selangor pada tahun 2015 hingga 2016.


Bermula Secara ‘Part-time’
Hamka yang mengakui sangat meminati dunia urutan sukan dan fisioterapi memulakan perniagaannya secara part-time.
Permintaan yang semakin meningkat, akhirnya Hamka berhenti dari pekerjaan lain lantas fokus 100% terhadap bisnes barunya ini.
“Pulangan dari perniagaan urutan sukan ini pada mulanya tidak banyak tapi saya positif kerana kurang pengalaman. Lama kelamaan saya semakin mahir dan nampak potensi besar dalam bidang yang saya minati ini.”

Bermula Dengan Naik Motosikal & Yoga Matt
Bermula dengan menaiki motosikal dan menggunakan yoga matt untuk menjalankan perkidmatan kepada pelanggan, Hamka kini mampu membeli kereta sendiri dan meja urutan profesional.

Dari harga serendah RM40, Hamka kini maju setapak lagi dengan harga yang lebih kompetitif berserta perkhidmatan dan teknik yang lebih baik.
“Kalau difikirkan balik, dulu hidup memang susah tapi sebab saya istiqomah dalam pekerjaan ini, akhirnya sedikit demi sedikit saya dapat rasa nikmat perniagaan ini.”
Permintaan Servis Urutan Dari Skuad Kebangsaan Bawah 22 Laos
Hamka yang pada mulanya menjalankan perkhidmatan urutan sukan secara separuh masa terkejut dengan permintaan mendadak dari pelanggan.
Bermula dengan para pemain skuad bawah 22 Laos di Piala AFC 2019, para pelanggan Hamka bertambah ke lain-lain pasukan dan organisasi seperti Skuad Ragbi 15 Malaysia, dan para pengadil bola sepak Malaysia.

Hamka juga menasihatkan pelajar-pelajar jurusan Sains & Pengurusan Sukan agar berusaha menggunakan ilmu yang dipelajari dalam industri sebenar dan jangan takut untuk memulakan sesuatu yang baru.
Hamka juga masih memasang impian untuk bermain secara profesional bersama mana-mana pasukan di Liga Malaysia jika diberikan peluang.