Kisah Rakyat Malaysia Kibar Bendera di Gelora Bung Karno
MakanBola
Sponsors

Sekiranya anda masih ingat era kegemilangan moden bola sepak Malaysia pada tahun 2010 setelah berjaya memenangi Piala Suzuki AFF 2010, terdapat 2 orang rakyat Malaysia yang hadir ke GBK dan mengebarkan bendera Malaysia.

Walaupun berdepan ancaman nyawa, Cabron dan seorang rakannya membuat keputusan untuk hadir ke Gelora Bung Karno, Jakarta untuk memberi sokongan dan mengebarkan Jalur Gemilang.

Ad

Tindakan berani ini diceritakan Cabron Del Mundo di laman blognya pada tahun 2010. Beliau dan seorang rakannya nekad ke Jakarta walaupun sedar tiada sebarang tiket dibeli dari Malaysia untuk masuk ke GBK.

Ad
tiket gbk 2 Kisah Rakyat Malaysia Kibar Bendera di Gelora Bung Karno
Cabron dan seorang lagi rakannya berjaya mendapatkan tiket di Kedutaan Malaysia di Indonesia.

Perhatian: Nukilan ini adalah nukilan asal dari laman blog Cabron dan nukilan ini berkonsepkan seperti novel dan sedikit panjang. Kami ringkaskan dalam bentuk perenggan beserta tajuk berfasa:

Sampai Ke Gelora Bung Karno

Kami terus melangkah meredah lautan merah yang dipenuhi garuda-garuda kelaparan untuk mencari Pintu XI seperti yang tertera di tiket kami dan kami difahamkan bahawa disitulah kesemua penyokong Malaysia akan ditempatkan. Dengan hati yang gembira kerana sangkaan kami akan bertemu dengan penyokong yang lain, kami percepatkan langkah namun setelah masuk ke kawasan tempat duduk kami melihat semuanya berwarna merah. “Mana penyokong Malaysia” bisik aku kepada Kem. “Mata kami terus meliar memerhati sekeliling stadium namun tiada kelibat warna kuning dan juga bendera Malaysia di Bung Karno. Kami keluar dan berlegar seketika di perkarangan Pintu XI, dan kami menghantar SMS kepada rombongan bertanyakan dimanakah mereka berada namun sehingga saat ini tiada balasnya. Aku dan Kem pergi menanyakan kepada “Pak Polisi” dimanakah tempat duduk bagi penyokong Malaysia, namun mereka juga tidak tahu, dan kami memohon untuk dibawa ke kawasan Sektor 1 kerana ianya berhampiran VIP dan masih kekosongan(kami lihat dari tempat duduk Pintu XI). Permintaan kami itu tak diendahkan malah mereka menyuruh kami terus duduk di Pintu XI walaupun tempat itu sebenarnya sudah dipenuhi oleh penyokong Indonesia. “Gila apa nak suruh kita duduk sini, aku tak nak” kata aku. Kami berdua pun merangka strategi baru, dan keputusannya ialah kami mahu keluar dari Pintu XI dan kami mahu mencari penyokong Malaysia yang lain.

Ad

Agak tegang juga keadaan ketika itu dengan pihak polis yang bertugas kerana mereka seolah-olah tidak mahu memberi kebenaran untuk kami keluar. Kami nekad untuk keluar walaupun kami tidak akan boleh masuk lagi kerana tiket kami sudah dikoyak. Setelah berjaya keluar, kami terus berjalan ke arah Sektor 1 berhampiran dengan Pintu VVIP namun tidak berjaya untuk masuk kerana dikawal serta tiket kami bukan untuk pintu tersebut. Kami berlegar di kawasan luar Sektor 1 dan Pintu VVIP dan masih lagi cuba menghubungi rombongan Kelab Penyokong namun tiada hasil. Aku semangat mahu menukar baju aku ke jersi Malaysia namun apakah dayaku dikelilingi ratusan ribu garuda. Kami berdiri di situ dan sempatlah kami melihat Wakil Presiden dan Presiden Indonesia tiba ke Gelora Bung Karno dengan kawalan yang sangat ketat.

Ad

Lagu Negaraku Di Booo Penonton

Aku buntu, Kem juga buntu, lalu kami merencana strategi yang terbaru, iaitu tunggu dan terjah bila keadaan tenang dan tiada kawalan. Saat itu pun tiba dan kami terus masuk ke kawasan VIP dan naik ke Sektor 1 melalui pintu di sebelah pintu VIP. Setelah berjaya masuk kerana kami memberitahu kepada pengawal pintu yang kami dari Malaysia berdua sahaja dan dia membenarkan kami masuk di situ. Waktu ketika itu sekitar jam 6:45pm waktu tempatan dan dalam masa 15 minit lagi perlawanan akan disepak mula. Keadaan di Gelora Bung Karno sangat gamat dengan jeritan, laungan, nyanyian oleh penyokong-penyokong Indonesia. Semua tempat duduk sudah penuh jadi bagaimana mungkin aku dan Kem untuk menyelit, ketika berjalan mencari tempat duduk yang boleh kami selit, kedengaran lagu Negaraku dimainkan dan penyokong Indonesia mem”boooo” dengan sekuat-kuat dan segamat-gamatnya(kita juga melakukan perkara yang sama di SNBJ terhadap lagu Indonesia Raya). Aku dan Kem berhenti dan berdiri seperti biasa sahaja kerana takut mereka perasan yang kami penyokong Malaysia.

Ad

Perasaan aku ketika itu bercampur, ada cuak, ada bengang, ada semangat yang membara….

Jadi selepas berakhir lagu negaraku, lagu Indonesia Raya pula dimainkan dan dapat aku rasakan bergema stadium dengan nyanyian lebih 85,000 penyokong yang membanjiri Bung Karno. Seperti juga kita di Bukit Jalil, bergema dan naik bulu roma apabila hampir 100,000 rakyat Malaysia bersama-sama melaungkan Negaraku. Selesai Negaraku aku dan Kem terus melangkah dan cuba mencari ruang kosong untuk kami “port” namun dari pintu ke pintu semuanya sudah penuh dan padat. Dalam putaran kami mengelilingi Bung Karno mencari ruang untuk menyelit, kami mengambil keputusan untuk menonton perlawanan di skrin gergasi dari perkarangan dalam stadium. Sewaktu Indonesia mendapat sepakan penalti aku dan Kem hanya berpandangan sesama lain membelakangi sorakan dan teriak gembira dari penyokong garuda di dalam mahupun di luar stadium. Namun apabila Firman gagal menyempurnakan sepakan itu, aku hanya mengetis-ngetis kaki Kem tanda gembira. Aku rasa ada seorang dua penyokong Indonesia yang perasan tetapi mereka hanya buat “dunno jek”. Syukurlah begitu kalau tidak haru jadinya ;-).

Kami memulakan kembali langkah kami untuk mencari ruangan untuk menyelit, separuh masa pertama perlawanan habis dan kami masih tidak dapat masuk ke tempat duduk kerana semuanya sudah padat. Separuh masa ke-2 bermula dan aku merencana strategi bagaimana hendak meraikan kemenangan Malaysia nanti kerana aku yakin dan pasti bahawa Harimau Malaya akan mengaum di sangkar Garuda setelah separuh masa pertama masih berkeputusan 0-0. Objektif aku sekarang bukan untuk menonton perlawanan tetapi hati sudah membara semangat untuk menyarung jersi Malaysia dan mengeluarkan bendera Malaysia dan bertambah semangat lagi setelah aku mendapat SMS dari ibundaku di Shah Alam mengatakan bahawa Kelab Penyokong yang ke Jakarta hanya menonton dari kedutaan(merupakan perancangan aku dan Kem jika tidak mendapat tiket). “Tinggal aku dengan kau je nih” kata aku kepada Kem. Dia hanya senyum.

Tiba-tiba keadaan di Gelora Bung Karno sepi, haaa…aku dan Kem berlari ke tempat yang boleh aku melihat skrin gergasi, “Yess!! Malaysia score” bisik aku dalam hati, aku senyum memandang Kem dan dia juga begitu sambil kaki aku mengetis kakinya tanda kami meraikan jaringan Safee Sali itu. Selepas jaringan itu banyak sang garuda terbang pulang dan ini adalah peluang untuk aku dan Kem ke tempat duduk. Aku dan Kem ke sektor 1 dan berdiri di celahan tentera merah putih yang lain. Sebelum itu aku telah menghantar SMS kepada seorang wartawan RTM iaitu Madi (merupakan rakan kepada Tapa, rakan kamcing aku). SMS aku berupa begini;

“Aku kat pintu kayu-kayu. Pintu media kot. Takpe, Aku cuba je cari jalan nak support. Janji angkat piala, bendera Malaysia InsyaALLAH keluar. Aku cuba.”

Walaupun banyak yang terbang pulang, masih padat lagi Stadium Gelora Bung Karno, bayangkan betapa ramainya garuda yang memenuhi setiap inci stadium samaada di dalam atau di luar. Kami menonton sambil mata aku meliar mencari posisi yang sesuai untuk meraikan kemenangan Harimau Malaya nanti. Aku terpandang akan satu “port” betul-betul di tengah-tengah stadium di kawasan VVIP. Aku bisik kepada Kem dan dia mengerti, lalu kami menunggu hingga wisel penamat ditiupkan dan hanya berlayar mengikut angin Bung Karno. Dua gol dari pasukan Indonesia dan bergemalah Bung Karno seakan-akan mereka telah mendahului kita, “takpe, game kita punya, tunggu sikit je lagi nanti bergema lagilah Bung Karno” bisik hatiku. Semangat aku terus berkobar-kobar, kalau diikutkan hati, aku ingin menyarung jersi Malaysia terus dicelahan tentera merah putih itu. Namun aku terpaksa terima hakikat bahawa aku hanya seorang manusia biasa yang tiada kuasa untuk menahan terjahan puluhan ribu sang garuda nanti. Aku hanya berharap dan berdoa semoga ALLAH S.W.T. melindungi aku dan rakan. Tentera merah putih memang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada timnas mereka dan itu membuatkan aku tabik kepada mereka kerana sokongan yang begitu padu walaupun hakikatnya mereka tewas sebenarnya. Langsung bertambah lagi semangat aku untuk Harimau Malaya, kerana kalau mereka kalah boleh memberikan sokongan padu begini, mengapa kita yang menang tiada sokongan. Aku nekad, jalur gemilang harus berkibar di Bung Karno kerana kesungguhan pemain-pemain untuk menjadi juara ASEAN dan juga aku sudah di Bung Karno, jika tidak berbuat apa-apa, lebih baik aku tengok di rumah sahaja ;-).

Cari Peluang Kibar Bendera Malaysia

Pritttt….Pritttt…Prriiiitttttttt..ittttttt..itu dia wisel penamat sudah dibunyikan namum tiada teriakan atau sorakan untuk pasukan Malaysia, “aduh!! Tak kan menang macam nih, ini tak boleh jadi man..ini mesti mau kena jugak man” kata aku pada diri sendiri. Semangat aku semakin membara, aku terus turun menempuh arus penyokong Indonesia yang akan pulang untuk aku terus ke “port” yang telah aku intai sebentar tadi. Kem menuruti di belakang. Kami mencari tempat yang sesuai dan merencana strategi bagaimana jika kami di serang. “Kem, standby jek, apa-apa lari je keluar padang. Kasut ikat ketat-ketat dah.” kata aku kepada Kem. Kami melihat sekeliling dan ternampak Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Shabery Cheek. Disaat itu Bung Karno diriuhkan dengan sorakan “Nurdin Bodoh” dari penyokong Indonesia. Mereka mahukan Nurdin Presiden PSSI meletak jawatan.

Suasana stadium GBK ketika perlawanan akhir Piala AFF / Youtube / AFFSuzukiCup

Podium penyampaian piala disediakan oleh petugas-petugas, setelah itu seorang demi seorang orang kenamaan dari Malaysia dan Indonesia dipanggil untuk ke podium bagi memberikan hadiah. Seingat aku dan yang aku ingat dari Malaysia adalah Datuk Shabery Cheek, Tan Sri Annuar Musa dan Tengku Ahmad Rithauddeen, dan dari Indonesia adalah presiden mereka Nurdin Halid yang telah dibooooooo sepanjang masa oleh penyokong. Mereka tidak menyukai Nurdin kerana telah terlalu lama ditampuk pemerintahan PSSI dan beliau merupakan seorang politik yang bermain politik bukan cintakan bolasepak (ini bukan aku reka, tetapi aku bertanya kepada orang Indonesia sendiri mengapa mereka membenci Nurdin sewaktu dalam tahanan). Sambil menanti saat penyerahan piala, aku dan Kem hanya berdiri dan bergambar sekeping dua sambil memerhati sekeliling bagi mengetahui suasana dan untuk merencana strategi menyelamatkan diri jika diserang kelak.

Safee Sali dipanggil untuk naik ke podium bagi menerima Anugerah Penjaring Terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 (5 gol dalam 4 perlawanan). Kemudian giliran Firman Utina untuk naik menerima Anugerah MVP Piala AFF Suzuki 2010. Nama timnas Indonesia dipanggil untuk naik ke podium bagi menerima medal naib juara Piala AFF Suzuki 2010 dan tepukan serta sorakan gemuruh mengiringi mereka. Lagi membaralah semangat aku untuk melaksanakan tugas. Aku nak bersorak cuma berdua sahaja, kalau sorak pun mungkin abang security dan orang sekeliling sahaja dengar, nak tepuk pun begitu juga, apa yang aku boleh buat untuk sama-sama dengan pasukan bolasepak Malaysia yang telah berjuang hanyalah dengan mengibarkan jalur gemilang supaya mereka tahu bahawa ada yang menyokong mereka dan bersama-sama dengan mereka sewaktu mereka bertempur tadi. Jadi zip beg sandang dibuka, bendera disediakan untuk keluar, aku bisik kepada Kem “standby, apa-apa lari je”

Akhirnya..

“AFF Suzuki Cup 2010 Championnn..MALAYSIAA!!!!” Boooooo..Boooooo.. itulah sorakan yang mengiringi pasukan Malaysia naik ke podium dan pada saat itu jugalah, tangan kanan aku mencapai bendera di dalam beg dan terus naik kedua-dua belah tangan aku memegang dan mengibarkannya tanda aku meraikan kemenangan dan semangat juang pemain-pemain. Aku nak mereka tahu yang mereka masih ada sokongan dari rakyat Malaysia, aku nak mereka tahu yang ada rakyat Malaysia yang bersama-sama sewaktu pertempuran selama 90 minit tadi, aku nak semua tahu yang bolasepak Malaysia belum mati lagi. Yang berjuang bukan orang lain…tapi orang kita juga!!

13934646 1067492236621389 5222315159277077812 n Kisah Rakyat Malaysia Kibar Bendera di Gelora Bung Karno
Bendera Malaysia akhirnya dikibar apabila keadaaan sedikit reda.

Sewaktu dengan berkibar megahnya bendera Malaysia di Gelora Bung Karno, bergema lagi tempat keramat itu dengan jeritan booo disusuli botol-botol dan segala objek-objek berterbangan ke arah aku. Aku hanya mampu tahan dan terus menadah segala objek, teriakan maki hamun dari sang garuda. Aku tidak pasti samaada aku terkena balingan mereka atau tidak kerana waktu itu aku tidak lagi fokus kepada mereka, aku fokus kepada bendera dan juga para pemain yang di atas podium.”AAAHHH..pedulikan mereka..kita dah menang..kena baling sikit tu biasalah..adat lah..di Malaysia pun ada baling-baling botol” bisik hatiku untuk menguatkan semangat.

pasca perlawanan 2 Kisah Rakyat Malaysia Kibar Bendera di Gelora Bung Karno
pasca perlawanan 1 Kisah Rakyat Malaysia Kibar Bendera di Gelora Bung Karno

Jalur Gemilang berkibar megah di Gelora Bung Karno semegah Harimau Malaya mengangkat trofi kejuaraan….