Nama Riccardo Calafiori mula meletup sejak perlawanan pembuka tirai Itali di dalam kempen Euro 2024 dengan aksi dan penampilannya yang saling tidak tumpah seperti lagenda Azzurri, Paolo Maldini.
Penampilan Calafiori yang berambut panjang di atas padang dengan sosok tubuh yang tegap selain bijak membaca gerakan lawanan persis tidak ubah seperti Maldini ketika menyarung jersi Itali suatu masa dahulu
Walau bagaimanapun, di sebalik kehebatan pertahanan berusia 22 tahun ini, ada kisah duka ketika mana Calafiori diuji dengan kecederaan yang aneh dan mengerikan yang hampir menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak.
Ketika usia remaja, Calafiori merupakan prospek muda yang dilihat bakal bersinar pada masa hadapan apabila menandatangani kontrak profesional pertamanya dengan AS Roma pada usia 16 tahun.
Namun, ketika turun beraksi menentang Viktoria Plzen dalam saingan UEFA Youth League pada 2018, beliau telah dikasari oleh pihak lawan dengan agak keras sehingga menyebabkan semua ligamen di lutut kanannya terputus
Menurut laporan GOAL, pakar perubatan yang memeriksa keadaan Calafiori seakan tidak percaya apabila melihat keadaan lututnya itu dan mengatakan bahawa kecederaan seperti itu berlaku hanya sekali setiap 10 tahun.
Kecederaannya itu membuatkan Calafiori disisihkan hampir setahun sebelum kembali membuat penampilan bersama skuad senior AS Roma di bawah bimbingan Paulo Fonsesca sebelum Jose Mourinho mengambil alih tempat tersebut.
Di bawah bimbingan Mourinho, Calafiori tidak mendapat peluang yang banyak untuk bermain lalu menyebabkan beliau dipinjamkan ke Genoa dan akhirnya dijual ke kelab Switzerland, FC Basel pada penghujung musim 2021/2022 dengan tanda harga 2.6 juta Euro.
“Saya tidak banyak bermain di bawah Mourinho di Roma tetapi saya mahu bermain lebih banyak, jadi saya pergi ke Genoa dan ia tidak berjalan lancar. Tiada ruang untuk saya di sana juga, jadi saya pergi ke Basel,” katanya kepada wartawan Itali ketika itu.
Bersama FC Basel, beliau mula mendapat rentak semula apabila sering mendapat kepercayaan jurulatih sebelum dibeli oleh Bologna yang dibimbing oleh Thiago Motta semusim selepas itu untuk kembali ke Serie A dengan harga 4 juta Euro.
Calafiori tidak membazirkan peluang yang diberikan oleh Motta apabila tampil penuh cemerlang membantu Bologna menduduki tempat ke-5 dalam carta liga seterusnya layak beraksi dalam saingan UEFA Champions League musim hadapan.
Aksi cemerlang Calafiori sekaligus membuka mata jurulatih Itali, Luciano Spaletti untuk memanggilnya memperkuat benteng pertahanan Azzurri bersama pemain Inter Milan, Alessandro Bastoni untuk kempen Euro 2024.
Calafiori sudah mencatatkan satu bantuan jaringan dalam tiga perlawanan di Euro ketika menentang Croatia dan dijangka sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengemudi benteng pertahanan apabila turun menentang Switzerland dalam aksi pusingan 16 terbaik pada Ahad.