Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah akui komunikasi merupakan satu masalah yang dihadapi pemain sayap, Lee Tae-min dan diumpamakan seperti komunikasi ‘ayam dan itik’.
Pemain muda dari Korea Selatan itu dikatakan tidak mampu berbahasa inggeris dengan baik dan kebanyakan komunikasi di antara beliau dan kesemua rakan sepasukan adalah melalui bahasa tubuh.
Yusri walau bagaimanapun bersyukur kerana Tae-min memahami apa yang beliau mahukan dalam setiap perlawanan Perak.
“(Tae-min) pemain muda saya, paling muda, 21 tahun. Pemain paling manja. Manja disebabkan tidak boleh berbahasa inggeris. Jadi kita ‘ayam-itik’ dengan dia. Bahasa badan sahaja dalam bola sepak.
“Tapi dia memahami. Karakter beliau dengan usia 21 tahun, saya rasa jika diberikan lebih minit beraksi, akan jadi lebih baik untuk pasukan,” jelas Yusri dalam sidang media yang disiarkan di Youtube TBG TV.
Yusri berpuas hati dengan sumbangan pemain muda itu dalam aksi menentang Kedah Darul Aman FC semalam dengan pemain itu berjaya meledak dua gol untuk kemenangan 2-0 di Stadium Darul Aman.
Walaupun sebelum ini Tae-min beraksi dalam saingan Liga K3 di Korea Selatan, namun aksi beliau dalam saingan Liga Super sememangnya mengejutkan banyak pihak.
Untuk aksi seterusnya, Perak bakal bertemu Terengganu FC dalam pusingan 16 terakhir Piala FA yang akan dilangsungkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.