Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon melihat dua aksi persahabatan menentang Syria dan China di Chengdu, China pada 6 dan 9 September ini sebagai medan menyesuaikan diri di gelanggang lawan.
Sejak mengambil alih skuad kebangsaan 18 bulan yang lalu, Pan-gon mendapati skuad negara bergelut setiap kali beraksi di luar Malaysia. Ini dibuktikan dengan statistik empat kekalahan yang dialami semasa era beliau, tiga daripadanya berlaku di tempat lawan.
Malaysia sebelum ini tunduk 2-0 kepada Singapura di Stadium Nasional Singapura pada Mac 2022. Dan dalam saingan Piala AFF 2022, Harimau Malaya kecundang kepada Vietnam dan Thailand.
Dengan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023 memerlukan Harimau Malaya beraksi di tempat lawan, skuad kebangsaan perlu bijak beradaptasi dengan tekanan penyokong dan persekitaran yang berbeza.
Justeru, perlawanan persahabatan menentang Syria dan China kali ini dianggap medan terbaik buat Pan-gon menguji kemampuan mereka dari segi aspek berkenaan.
“Kem ini amat penting sebelum kita mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia FIFA pada November ini dan Piala Asia pada Januari (tahun depan). Kita akan berdepan pasukan-pasukan yang kuat iaitu Syria dan China. Ia satu penanda yang bagus untuk mengukur pencapaian kita di mana.
“Dalam 18 bulan terakhir, kita melakukan tugas yang bagus dalam perlawanan. Kita menang 16 perlawanan, seri sekali dan kita kalah empat kali.
“Di gelanggang sendiri, kita hanya kalah sekali kepada Bahrain dan sejak itu, kita tidak kalah lagi. Kita kalah di tempat lawan semasa menentang Vietnam dan Thailand dalam Piala AFF.
“Perlawanan di tempat lawan berbeza dari segi persekitaran dan penyokong. Jadi, itu akan menjadikan perlawanan-perlawanan ini sukar. Jadi, bila ikut format kelayakan home (tempat sendiri) dan away (tempat lawan), perlawanan away (tempat lawan) amat penting.
“Piala Asia kita bermain di tempat lawan juga sangat penting. Jadi, amat bagus untuk kita membiasakan diri dengan situasi. Jadi, kita harus menggunakan dua perlawanan ini untuk membina keyakinan bersaing dengan pasukan di tempat lawan,” katanya kepada media selepas latihan semalam.
25 pemain yang dipanggil Pan-gon telah memulakan sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak semalam. Mereka kemudiannya dijangka terbang ke China pada 4 September ini sebelum turun menentang Dragon’s Team dua hari selepas itu.