“Kita Tiada Masalah Kewangan, Cuma Lambat Hantar Jer” – Presiden Sarawak United
Liga Super
Advertisements

Presiden kelab Sarawak United, Dato’ Sri Posa Majais menafikan kelab itu berdepan dengan masalah kewangan, susulan tidak mendapat lesen untuk beraksi dalam Liga Malaysia musim 2023.

Malaysian Football League (MFL) pada Rabu lalu, membuat keputusan tegas bahawa Sarawak United dan Melaka United masing-masing tidak diberi lesen kebangsaan kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun telah diberi tempoh sehingga 19 Oktober ini untuk mengemukakan rayuan, justeru Posa Majais tidak mahu peluang itu dipersia-siakan kerana baginya, mereka ada justifikasi kukuh untuk berbuat demikian.

Advertisements

Posa menegaskan masalah yang mereka hadapi tidak sebesar masalah dihadapi pasukan lain.

“Kita akan kemukakan rayuan kerana kita sudah hampir untuk menyelesaikan perkara dan dokumen utama. Kita terlambat menghantar pada masa ditetapkan dan kita bukan berdepan masalah kewangan.

Advertisements

“Kita sudah selesaikan beberapa perkara penting seperti laporan audit, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Jadi kita harap rayuan ini diterima kerana masalah kami tidak sebesar seperti pasukan lain.

“Mengenai isu tidak boleh menandatangani pemain baharu, kami tidak berapa kisah kerana kami boleh kekalkan pemain yang sedia ada, asalkan kami dapat terus bermain,” kata Posa Majais dipetik dari Arena Metro.

Advertisements

Apa yang membimbangkan, adakah Sarawak United akan belajar dari kesilapan lalu, jika MFL terus berlembut dengan mereka?

Umum mengetahui, masalah tunggakan gaji dengan Sarawak United bukan cerita baru, ia berulang saban tahun walaupun sentiasa dinafikan oleh Posa Majais dan pihak pengurusan.

Advertisements

Apakah jaminan bahawa selepas mengemukakan semua dokumen lengkap, masalah sama tidak berulang lagi selepas ini?

Selepas tiga bulan, akan kedengaran masalah gaji, pihak kelab akan membuat penafian, pihak yang meviralkan akan diugut untuk disaman, dan kemudian pemain akan membuat laporan secara berjemaah kepada Persatuan Pemain Profesional Malaysia bahawa tidak dibayar gaji selama tiga, empat atau lima bulan.

Hakikatnya, bukan Sarawak United, tetapi MFL yang perlu belajar dari kesilapan lalu.

Tahun ini sahaja, tunggakan gaji di Sarawak United berlaku beberapa kali sehinggakan ia turut mendapat perhatian pemilik JDT yang juga penaung PFAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Malah MFL sendiri terpaksa campur tangan apabila mengambil tindakan segera memotong dana hak penyiaran Sarawak sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai yang mengalami masalah tunggakan gaji.

Walaupun pihak kelab mengatakan tunggakan gaji telah selesai, difahamkan masih ada lagi yang belum menerima bayaran mereka sepenuhnya. Jadi sudah tentu ini menimbulkan sedikit keraguan akan kekuatan kewangan kelab itu.

MFL, berhati-hatilah, jangan ulangi kesilapan berkali-kali.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram