Pengurusan KL City FC mendedahkan isu tunggakan gaji pemain termasuk kapten Paulo Josue semakin menemui titik noktah.
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard kepada Nadi Weekend hari ini.
Sebelum ini, isu tunggakan gaji membabitkan The City Boys timbul apabila Josue mendakwa beliau tidak menerima gaji selama tujuh bulan.
Ini disusuli dengan pendedahan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad bahawa barisan pemain terutama pemain kebangsaan tiada wang untuk meraikan sambutan Aidiladha.
Situasi ini mendorong Stanley tampil menjelaskan isu sebenarnya. Isu membabitkan tunggakan gaji Josue berlaku kerana kontrak asal pemain berusia 35 tahun dengan KLFA.
Apabila beliau menyambung kontrak baru bersama KL City, ini menyebabkan beberapa perkara perlu dijelaskan terlebih dahulu. Stanley percaya apabila Josue meluahkan perasaannya itu, perbincangan tentang isu gaji sedang berjalan antara kedua-dua pihak.
Beliau memaklumkan isu tersebut semakin menghampiri jalan penyelesaian sebagai tanda penghormatan kepada status Josue sebagai legenda KL City. Ini kerana beliau berpotensi memintas Fandi Ahmad sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan itu.
“Musim 2023 sebenarnya tamat pada 30 November. Jadi, bila dilanjutkan, ada yang tamat pada November dan ada yang tamat pada Disember. Jadi, apabila perbincangan berlaku antara Paulo Josue dengan KLFA, ada perkara-perkara sebab beliau pemain luar.
“Beberapa perkara yang perlu diselaraskan, itu yang mungkin dimasukkan jumlahnya (gaji yang tertunggak) yang lama itu.
“Tapi sekarang dalam fasa itu pun hampir diselesaikan KLFA, Encik Nokman (Mustaffa, Setiausaha Agung KLFA) pun sudah berbincang dengan Paulo Josue untuk memastikan ini pun sudah diselesaikan,” katanya panjang lebar.
Penjelasan ini dilihat memberi kelegaan kepada penyokong The City Boys menjelang aksi derby Lembah Klang menentang Selangor FC pada 14 Julai ini.