Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard percaya dengan sokongan yang betul, pasukan itu mampu meraih kedudukan terbaik mereka dalam liga.
Ketika ini, KL City berada di kedudukan kelapan liga dengan 11 mata selepas mengharungi 11 perlawanan dan potongan enam mata oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Kedudukan terbaik KL City dalam liga setakat ini ialah pencapaian tempat keenam mengikut data Transfermarkt. Pencapaian ini diraih sebanyak dua kali pada 2021 dan 2022 ketika The City Boys dibimbing Bojan Hodak.
Stanley percaya dengan sokongan yang betul daripada barisan kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), beliau percaya KL City mampu mengatasi pencapaian yang dinyatakan.
“Dari segi liga, saya amat bangga kerana sudah tentu dengan mata masih kurang (akibat potongan mata), kita masih berada pada kedudukan di mana kita boleh mencabar kedudukan lima teratas.
“Dengan kembalinya mata, mungkin lebih tinggi. Tetapi itu pun kita sudah meningkat naik dalam beberapa perlawanan. Saya rasa saya mungkin ada ramalan ini mungkin kedudukan liga terbaik kita pada tahun ini.
“Tetapi dari segi Piala Malaysia, kita tak tahu. Tetapi kalau suntikan betul, pelan tindakan pun masuk dari kepimpinan baru (KLFA), kita tak boleh teka apa pasukan ini boleh lakukan,” katanya.
Stanley ditemui media selepas majlis makan malam eksklusif bersama penaung, presiden dan ahli-ahli jawatankuasa eksekutif KLFA yang baru di Mercure Hotel Trion pada 17 Oktober lalu.
KL City berharap dapat meneruskan momentum kemenangan dengan menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 18 Oktober ini.