Pengendali KL City FC, Miroslav Kuljanac mahu pasukan itu kembali mendaki carta liga selepas berada dalam kelompok terbawah ketika ini.
The City Boys berdepan situasi ini selepas dikenakan hukuman potongan enam mata oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Ini susulan kelab itu membuat deklarasi tidak tepat berkenaan maklumat lesen mereka.
Situasi KL City tidak dibantu apabila pasukan Lembah Klang itu tewas 2-0 kepada Terengganu FC dalam aksi terbaru liga pada 10 Ogos lalu. Manuel Ott dan Safawi Rasid mencipta nama sebagai penjaring Peteh.
Ini mengakibatkan KL City kini berada di kedudukan ke-11 liga dengan lima mata daripada tujuh perlawanan. Mereka kini hanya dipisahkan dua mata dengan dua pasukan tercorot liga, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan Negeri Sembilan FC.
Kuljanac mengakui apa yang berlaku di luar padang bukanlah sesuatu yang dimahukan pasukan itu. Pada masa sama, beliau tahu barisan anak buahnya sentiasa menunjukkan keinginan untuk berjuang.
Dan itu dilihat perlu jika mahukan The City Boys untuk keluar dari kelompok terbawah dan kembali mendaki carta liga.
“Sejak dari hari pertama, kita mahu melawan semula. Kita tidak mahu melihat pasukan kita berada di kelompok terbawah liga. Saya fikir kita satu pasukan yang bagus. Dan pada ketika ini, kita perlu teruskan apa yang kita lakukan.
“Mereka (para pemain) bekerja keras dan menunjukkan profesionalisme yang mantap. Kita ada masalah lain (di luar padang), saya harap itu dapat diselesaikan tidak lama lagi. Mereka ialah pejuang dan saya percayakan mereka,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam untuk Nadi Bola.
KL City bakal berdepan juara Challenge Cup edisi 2023, PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 16 Ogos ini.