KL City FC membuat tawaran istimewa buat penyokong muda menjelang aksi terakhir Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).
Kelab Lembah Klang itu menawarkan tiket serendah RM3.00 buat penyokong yang berusia tujuh hingga 18 tahun dan bersekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Harga istimewa ini hanya boleh didapati menerusi jualan dan kemasukan di pintu B2, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada hari Ahad ini, 20 April 2025 (hari perlawanan), bermula jam 7.45 mlm.
“Jangan lupa bawa MyKad/MyKid anda!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Ini dibuat bukan saja sebagai tanda penghargaan buat penyokong yang menyokong KL City sepanjang musim 2024/25.
Malah, ini dilihat inisiatif pengurusan The City Boys untuk merancakkan lagi kehadiran penyokong ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Selain tawaran tiket istimewa, KL City turut menganjurkan KL Fan Fest buat kali kedua bagi meraikan penyokong yang hadir pada 20 April ini.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah lori makanan, jualan diskaun 50%, pameran jersi retro KL City dan program audio siar secara langsung.