Membuat penampilan pertama di Korean FA Cup bersama Chungbuk Cheongju merupakan satu kenangan yang tidak akan dilupakan oleh pemain sayap negara, R. Kogileswaran. Atas sebab itu, bekas pemain sayap PJ City itu berharap lebih ramai pemain melebarkan sayap mereka ke luar negara termasuk K-League.
Tetapi sebelum ada yang memasang angan-angan ke luar negara, pemain-pemain perlu mempunyai persediaan dari segi fizikal mahupun mental. Ini kerana liga luar seperti K-League sama sekali berbeza dengan Liga Malaysia (Liga M) terutama dari segi tempo permainan.
Hal ini disedari Kogileswaran bila turun menjalani latihan pertama bersama Chungbuk. Dengan dua persiapan yang dinyatakan itu, ia sekurang-kurangnya membantu pemain lebih cepat beradaptasi dan terhindar daripada kejutan budaya.
“Sebelum datang ke sini, kita kena sediakan mental dan fizikal. Tahap bola sepak di sini tinggi sangat-sangat dan tempo permainan pun laju.
“Latihan mereka pun keras sikit, tapi saya harap pemain yang akan datang ke Korea sediakan mental dan fizikal sebaiknya,” katanya bila dihubungi Arena Metro.
Dengan gaya permainan K-League hampir sama dengan apa yang diterapkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, pastinya menarik bagi pemain-pemain kebangsaan beraksi di Korea Selatan.
Ini kerana dengan taraf liga yang tinggi dan corak permainan pantas yang diamalkan di sana, ia bukan saja dapat meningkatkan kualiti pemain. Malah, ia secara tidak langsung menambah kualiti Harimau Malaya bila beraksi di pentas antarabangsa.
“Cuba bayangkan, apabila ramai pemain kita ada di sini (Liga Korea) dah tentu pemain akan cepat faham falsafah bola sepak Korea yang menekankan aspek High Pressing dan kepantasan dalam permainan.
“Sebab di sini, memang semua pasukan dari akademi hingga kelab atasan guna satu DNA saja. Jadi kalau kita dapat main di sini, bila balik ke pasukan kebangsaan dah tentu pemain lebih cepat sesuaikan diri.
“Itu akan beri kelebihan buat kita, dan saya amat menggalakkan pemain utama Harimau Malaya untuk datang,” tambahnya.