Bekas pemain PJ City FC, R. Kogileswaran sah tidak lagi bersama kelab K-League 2, Chungbuk Cheongju selepas kontraknya ditamatkan secara persetujuan bersama.
Pengumuman Kogileswaran ini dibuat menerusi satu sidang media khas yang disiarkan di Astro Arena hari ini. Pengumuman tersebut turut menamatkan spekulasi tentang statusnya yang muncul sejak awal bulan ini.
“Saya memang telah (menamatkan kontrak secara mutual agreement) dengan Chungbuk Cheongju. Tapi saya tak boleh cakap secara terperinci apa yang berlaku. Tapi saya boleh cakap penamatan kontrak itu bukan disebabkan faktor persembahan saya.
“Memang saya akui menghadapi masa sukar di sana, adapt dengan bola sepak Korea. Tapi (dari) hari ke hari, prestasi saya meningkat semasa training. Tapi ada benda di belakang (tabir) that something went wrong tapi saya tak boleh cakap,” katanya bila ditanya wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Sepanjang bersama Chungbuk, bekas pemain sayap Sri Pahang FC itu hanya merekodkan satu penampilan iaitu dalam aksi pusingan kedua Korean FA Cup menentang Jungnang Chorus Mustang.
Tetapi pada masa sama, Kogileswaran mengakui merasai pengalaman positif semasa berada di Korea Selatan.
“Permainan bola sepak di sana amat tinggi. Sebelum saya pergi ke Korea, saya fikir divisyen dua, saya ambil easy sikit. Tapi the first day of training, saya rasa ini bukan calang-calang team dan bukan calang-calang intensity bola sepak.
“Walaupun saya main satu perlawanan tetapi training yang kita ada hari-hari itu, intensity seperti perlawanan di K2. Tapi sana dekat Korean League (baik) K2, K1, K3, K4, semua pasukan sama kuat.
“Macam kita tengok di England, kalau dalam FA Cup (dan) Carling Cup semua, ada pasukan divisyen dua pergi sampai ke final macam tu. So, prestasi diorang setiap pemain, setiap pasukan di sana agak tinggi,” tambahnya.
Fokus Kogileswaran ketika ini bukan saja mendapatkan minit permainan berharga tetapi juga memburu panggilan menyertai Harimau Malaya.
Atas sebab itu, beliau mendedahkan sedang menimbang tawaran dua buah pasukan dengan identiti pasukan pilihannya itu akan didedahkan esok.