Kemasukan dua bintang utama Harimau Malaya, Faisal Halim dan Arif Aiman jelas menunjukkan bahawa mereka benar-benar dalam kelas tersendiri.
Kim Pan-gon memilih untuk memulakan perlawanan dengan rangkaian serangan Akhyar Rashid, Paulo Josue dan Safawi Rasid namun bergelut untuk memperoleh jaringan.
Percaturan untuk membawa masuk dua pemain yang paling menyinar dalam saingan Liga Super ketika ini merupakan keputusan terbaik yang dilakukan oleh pengendali kelahiran Korea Selatan itu.
Dua pemain ini menjadi punca amukan tak berhenti skuad kebangsaan apabila membawa kepada jaringan kedua oleh Paulo Josue.
Arif kembali mencatat nama selaku penjaring selepas meledak ketika menentang Kepulauan Solomon menerusi dua jaringan cantik pada minit ke-57 dan 60.
Faisal juga sempat mencatat nama selaku penjaring gol keempat buat skuad negara.
Kemasukan dua pemain ini jelas menyuntik moral pasukan selepas rentetan peluang terhidang disia-siakan pada babak pertama.
Malah, Arif terus merekodkan momen terbaik dalam kariernya bersama pasukan negara apabila meledak gol ke-4 buat Malaysia pada lewat babak permainan.
Sungguhpun berdepan lawan yang lebih rendah, kemenangan ini penting buat moral pasukan sebelum menghadapi lawan yang lebih kuat pada bulan September nanti.
Malaysia memperoleh mata tambahan sebanyak 4.20 mata untuk terus mengukuhkan kedudukan di tangga ke-138 dunia.