Kombinasi pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) terus mendapat kepercayaan Javier Jorda Ribera untuk saingan FIFA Youth Series 2025.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 25 pemain yang akan menyertai kem Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16).
Senarai itu akan dikurangkan kepada 22 pemain sebelum skuad negara berlepas ke Zurich, Switzerland pada 15 Mei ini.
Aiman Khaufly Hanafi mengetuai lapan pemain JDT V. Adam Muqri Muhaizam dan Rayyan Anaqy Husharudin pula mewakili skuad AMD Future.
Ahmad Yusuf Nasrallah Ahmad Ramli mengetuai senarai 15 pemain AMD B-16. Skuad kali turut menyaksikan kehadiran beberapa tonggak B-16 dari tahun 2024 seperti Arayyan Hakeem Norizam.
Ribera turut memilih tidak memanggil beberapa pemain B-16 yang berpangkalan di luar negara iaitu Kaveen Waran dan Kim Johan Nyo Tegnander.
Malaysia akan membuka kempen FIFA Youth Series dalam Kumpulan B dengan menentang Paraguay pada 18 Mei. Ini disusuli aksi menentang Tunisia pada 19 Mei.
Pasukan yang menduduki tempat ketiga Kumpulan A dan B akan berentap untuk penentuan tempat kelima pada 21 Mei. Naib juara kumpulan akan berentap untuk penentuan tempat ketiga pada 22 Mei.
Juara Kumpulan A dan B pula akan berentap bagi menentukan juara kejohanan pada hari yang sama.