Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail menegur sesetengah pihak yang mudah terpedaya dengan nasihat daripada orang luar.
Menerusi satu kenyataan di laman Instastory, Baginda tampil dengan teguran mengenai sikap segelintir pemain yang tidak hargai kestabilan sedia ada, gara-gara terhasut dek persepsi luar.
”Dah bertahun cakap. Apa sahaja saya cakap yang diperlekehkan semua jadi kenyataan.”
“Dulu masa gaji stabil, menang piala, tempat latihan bagus, dan main kejohanan antarabangsa, cari penyakit dengar cakap penyokong,” ujar DYAM Tunku Ismail.
Malah, lebih memburukkan keadaan apabila Baginda berkata nasihat yang diberikan kepada pemain datangnya dari orang yang perasan seperti lebih tahu apa yang berlaku di dalam industri.
“Yang menasihat tiada dalam industri bola sepak, akan tetapi bersuara macam seolah-olah lebih tahu pasal bola sepak dan berpengalaman dalam arena bola sepak,” tulis Baginda.
Tambah Baginda, sesetengah nasihat yang kedengaran ‘baik’ sebenarnya tidak berpijak pada realiti bola sepak moden dan telah memberikan kesan yang buruk kepada kebajikan serta karier pemain.
“Kononnya dinasihat untuk keluar dari JDT untuk dapat lebih minit permainan. Akhirnya, gaji tak dapat, tempat latihan tak seberapa, main pun jarang, piala tiada dan main pertandingan antarabangsa pun tiada.”
“Sekurang-kurangnya di JDT walaupun minit kurang boleh bersara selaku juara, pengalaman luas, dan kewangan pun stabil.”
“Yang dinasihat keluar negara pula hanya setakat dapat pengalaman, gaji tak seberapa dan prestasi pun tak seberapa, rosak. Apabila bersara terpaksa kais sini sana. Seorang demi seorang jadi mangsa dengar cakap orang.”

Baginda turut memberikan usul kepada pemain yang mahu dilepaskan secara pinjaman agar duduk berbincang dengan pihak kelab agar tidak menyusahkan diri sendiri pada masa akan datang.
“Kalau nak pinjaman pun biar kelab bantu agar gaji tak jadi isu, bukan buat sendiri semata-mata dengar cakap orang. Sekarang bila dah susah mana muka-muka yang menasihat semua?