Advertisements
Konsert Di Stadium Nasional Bukit Jalil Jana Impak Ekonomi RM200 Juta
Harimau Malaya
MakanBola
HRH Crown Prince of Johor

Gelanggang Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil mencatatkan keuntungan hampir RM200 juta melalui penganjuran konsert tahun lalu.

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh ketika sidang parlimen berlangsung semalam.

Beliau berkata, dua penganjuran konsert utama tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil telah berjaya membawa pulangan yang besar buat ekonomi negara khususnya.

”Pulangan hasil ini dapat dilihat secara signifikan melalui penganjuran dua konsert berskala besar seperti Blackpink dan Coldplay pada tahun lepas,” katanya di Dewan Rakyat.

Tambah beliau lagi, kira-kira hampir RM200 juta berjaya dicapai hasil penganjuran konsert Blackpink dan Coldplay dengan masing-masing mencatatkan pulangan sebanyak RM64 juta dan RM137 juta.

“Melalui penganjuran konsert Blackpink, jumlah pulangan kepada ekonomi negara adalah sebanyak RM64 juta dan dapatan hasil kepada kerajaan melalui bayaran cukai penganjuran acara adalah sebanyak RM2.7 juta,” ujar beliau lagi.

”Manakala untuk penganjuran konsert Coldplay, jumpah keseluruhan hasil kepada ekonomi Malaysia adalah sebanyak RM137 juta dan hasil khusus kepada kerajaan Malaysia melalui bayaran cukai penganjuran adalah berjumlah RM8 juta.”

Untuk rekod, tahun lalu stadium berkapasiti hampir 80,000 ini digunakan bagi venue konsert kumpulan artis terkenal Korea Selatan, Blackpink pada Mac dan konsert kumpulan Coldplay pada November.

Selepas ini Stadium Nasional Bukit Jalil yang merupakan gelanggang keramat skuad bola sepak kebangsaan bakal digunakan bagi aksi keempat kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Oman pada 26 Mac depan.